Tajuk: Ibadah akikah
Assalamualaikum,
Kalau dalam sesebuah keluarga besar nak laksanakan ibadah akikah dan qurban, mesti ada banyak persoalan yang timbul kan?
Ilmu yang ada di dalam dalam pelbagai lapisan umur menjadi perbahasan hebat yang memerlukan penjelasan.
Jadi, untuk menjelaskan persoalan yang wujud, Izzati ada buat sedikit carian berdasarkan ilmu fiqh dan usul fiqh yang Izzati belajar di UIA Gombak ni.
Sumber utama adalah laman web Mufti. Kenapa gunakan sumber laman web mufti dan bukannya cari kitab Arab semua tu?
Hehe, sebabnya, kalau nak buka kitab Arab, boleh. Cumanya kalau kita bagi jawapan yang termaktub dalam kitab Arab contohnya alFiqh alManhaji, Mughni alMuhtaj, dan lain-lain, akan menambah kekeliruan masyarakat. Jadi, Izzati terus rujuk mufti (majoritinya: rajih oleh Mufti Wilayah) dan rujuk juga dalil dan pendapat lain sebagai pemahaman.
Dulu, masa belajar subjek Ijtihad dan Ifta’, rukun ifta (difahami sebagai fatwa) ada lima iaitu (1) mufti (2) mustafti atau orang yang bertanya (3) masalah atau persoalan atau soalan (4) mahalul ijtihad (5) ijtihad.
Maka, terhasillah artikel dalam bentuk soalan dan jawapan:
1. Soalan: Hukum akikah?
Jawapan: *Sunat bagi yang mampu* berdasarkan dalil (rujuk web Mufti); maksudnya orang yang mampu, kalau dia buat aqiqah, dapat pahala.
2. Soalan: Hukum menggantikan kambing kepada bahagian lembu atau unta, adakah dibolehkan?
Jawapan: Asalnya aqiqah gunakan kambing; yang mana untuk anak lelaki dua ekor kambing dan untuk anak perempuan adalah seekor.
Maka, *harus gantikan kambing dengan lembu* (dalil: berdasarkan Mughni al-Muhtaj cetakkan Dar al-Kutub al-`Ilmiyya)
3. Soalan: Berapakan bilangan bahagian lembu untuk diakikahkan kepada anak lelaki dan anak perempuan?
Jawapan: Ada banyak pendapat, tapi mufti di Malaysia memilih pendapat (rajih) yang mengatakan:
Asalnya, seekor anak kambing = satu daripada tujuh bahagian lembu.
Bagi anak perempuan, perlu akikahkan seekor kambing.
Jadi, *untuk ank (P); seekor kambing = satu drpd tujuh bahagian lembu*
Manakala, untuk akikahkan seorang anak lelaki perlu kepada dua ekor kambing.
Maka, *untuk ank (L); dua ekor kmbing = dua drpd tujuh bahagian lembu.*
Dalil berdasarkan anNawawi,
وَكَالشَّاةِ سُبْعُ بَدَنَةٍ أَوْ بَقَرَةٍ، فَلَوْ ذَبَحَ بَدَنَةً أَوْ بَقَرَةً عَنْ سَبْعَةِ أَوْلَادٍ، أَوْ اشْتَرَكَ جَمَاعَةٌ فِيهَا جَازَ، سَوَاءٌ أَرَادُوا كُلُّهُمْ الْعَقِيقَةَ أَوْ بَعْضُهُمْ الْعَقِيقَةَ وَبَعْضُهُمْ اللَّحْمَ
4. Soalan: Adakah boleh mengasingkan sembelihan akikah untuk dua ekor kambing pada majlis yang berlainan?
Jawapan: Hukum asal sembelihan aqiqah disembelih dalam satu majlis.
Contohnya Ahmad membuat akikah untuk anak L; akikah satu bahagian lembu pada bulan Jun 2018.
Ahmad menyelesaikan sunat akikah untuk seekor kambing pada bulan November 2019.
Maka, *hukumnya harus dan tidak mengapa jika disembelih pada hari yang lain* (sebab: tidak mampu atau ada halangan tertentu).
Cumanya kurang afdhal.
Yang afdhal, sunnah disembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki secara bersekali dan tidak terpisah.
Sumber: mufti Wilayah
5. Soalan: Adakah sah akikah anak lelaki, jika membuat akikah satu bahagian lembu?
Jawapan: Kalau akikah untuk anak lelaki dibuat satu bhg lembu kerana kebiasaan atau ilmu yang diajarkan oleh ustaz terdahulu,
maka *tidak mengapa dan tidak berdosa kalau dulu dah buat satu bahagian untuk anak lelaki* kerana hukum akikah hanyalah sunat bukannya wajib.
Cumanya, *jika ingin menyempurnakan ibadah akikah, afdal ditambah lagi satu bahagian lembu. *
Namun, bagi yang tidak mampu berbuat demikian, tidak mengapa.
6. Soalan: Bolehkah sekiranya seekor lembu korban itu diniatkan 5 bahagian untuk korban manakala 2 bahagian lagi untuk aqiqah?
Jawapan: *Boleh* untuk disekalikan niat korban dan aqiqah *pada bahagian lembu* dan juga unta (dalil: pendapat dari kalangan al-Syafi’ieyyah dan juga al-Hanafiah).
Sekiranya seseorang itu mampu, maka yang terbaiknya adalah dengan mengasingkan setiap satu daripada ibadah tersebut tanpa berlakunya perkongsian (korban dan aqiqah disekalikan) dan itu adalah afdal.
Akan tetapi, kalau sekalikan niat ibadah qurban dan aqiqah bagi satu lembu hukumnya harus; tidak mengapa.
7. Apakah yang dimaksudkan perlu asingkan akikah dan korban?
Maksudnya perlu diasingkan *niat untuk setiap BAHAGIAN lembu;* bukannya asingkan satu lembu untuk tujuan ibadah aqiqah atau qurban.
Contohnya Ali menyembelih satu lembu kepada tujuh bahagian. Dia membahagikan 3/7 bahagian dan diniatkan untuk aqiqah. Manakala 4/7 bahagian diniatkan qurban.
*Tujuan diasingkan BAHAGIAN aqiqah dan ibadah qurban* untuk seekor lembu, kerana cara melaksanakan akikah lain dari segi cara masak, cara bahagi daging lembu dll.
Sekian alhamdulillah. Semoga perkongsian ini membawa manfaat bersama kepada awak, dia, dan saya aamiin insyaAllah. Tolong doakan Izzati Nadia, semua ahli keluarganya, para gurunya, kawan-kawannya disayangi Allah dunia dan akhirat! Terima kasih.