Warning ! You have stepped onto Pinkcess's Zone Follow me and Leave your footsteps on this page │FollowDashboard
Allahuakbar Alhamdulillah Subhanallah Astaghfirullah

Karangan Bahagian B : Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang popular. Bincangkan.



3. Malaysia merupakan destinasi pelancongan yang popular kerana mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri. Bincangkan.

Malaysia merupakan sebuah negara yang istimewa.  Ramai pelancong memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan.   Apakah sebab-sebab rakyat Malaysia memilih  untuk melancong di negara sendiri? Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai jenis industri pelancongan yang boleh dikomersialkan. Antaranya termasuklah destinasi pelancongan berasaskan Kebudayaan, Industri Kraftangan, Makanan Tradisi, tempat-tempat menarik, Sukan dan Agrotourism. Klasifikasi ini penting kerana pelancong mempunyai minat yang berbeza dan memudahkan mereka membuat pilihan untuk melancong ke tempat-tempat tersebut. Kebiasaannya, tempat tersebut wujud kerana mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri. Contohnya, destinasi pelancongan berasaskan tempat-tempat menarik seperti Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Taman Negara Bako. Selain itu, destinasi pelancongan berasaskan Sukan dapat direalisasikan melalui penganjuran Sukan Antarabangsa seperti Formula 1 di Sepang dan Le Tour De Langkawi yang menjadi acara tahunan di Pulau Langkawi. Jelaslah sektor pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri dapat menarik minat pelancong.             

Antara sebabnya ialah keindahan alam sekitar yang menarik terdapat di negara ini.  Malaysia mempunyai hutan yang menarik.  Tempat-tempat ini boleh menenangkan fikiran kita contohnya, Taman Negara Endau, Rompin, Gua Niah di Sarawak dan lain-lain. Promosi ini keunikan dan keindahan alam semula jadi telah diwara-warakan melalui iklan-iklan di media cetak dan media elektronik termasuklah di laman-laman web. pameran di  tempat-tempat awam seperti pasar raya, pertandingan-pertandingan dan pesta jualan. Contohnya pertandingan memancing ‘Joran’ anjuran Berita Harian yang diadakan saban tahun secara tidak langsung turut mempromosikan tempat-tempat menarik di Malaysia seperti Pulau Tioman, Tasik Kenyir dan Empangan Temenggor.  Ringkasnya, Promosi destinasi pelancongan yang giat dilakukan dalam usaha memperkenalkan destinasi menarik di Malaysia merupakan pemangkin Malaysia menjadi lokasi tarikan utama pelancong kerana tak kenal maka tak cinta.               

Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita yang menjadi faktor serampang dua mata dalam menjana ekonomi negara.  
        
Malaysia juga mempunyai pantai-pantai yang menarik.  Apabila melancong di pantai,  pulau, dan kawasan tanah tinggi, kita dapat menghilangkan tekanan dan mendapat hiburan.  Rakyat Malaysia yang melancong bersama-sama keluarga boleh mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.  Sebagai contoh Pulau Pinang, Pulau Tioman, Pulau Langkawi, Port Dickson, Desaru Kota Tinggi, Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan lokasi lain yang boleh dijadikan destinasi pelancongan keluarga.  Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini menjadi faktor dominan  menarik pelancong dari dalam dan dari luar negara.   
    
Malaysia juga popular dengan  pusat-pusat beli-belah yang terkenal.  Contohnya, Mega Mall di Kuala Lumpur, Mahkota Parade di Melaka, The Summit. Alamanda, Mid-Valley dan lain-lain.  Barangan yang dijual di negara kita setanding dengan negara  di luar negara.  Selain itu, terdapat juga pelbagai kraftangan yang boleh dijadikan cenderamata.  Pelancong sangat  suka barangan kraftangan Malaysia kerana menarik dan terdapat pelbagai tawaran harga murah oleh pelbagai pihak.  Pada setiap tahun juga, diadakan promosi harga barangan dan jualan mega. Contohnya seperti yang telah dilakukan oleh ‘First World Hotel’. Agensi tersebut telah menyediakan pakej yang murah, serendah RM 88.00 untuk satu malam meliputi penginapan, makan malam, sarapan, makan tengah hari dan lawatan ke taman tema. Jelasnya, melalui tawaran pakej istimewa tersebut,  sudah pasti pelbagai golongan masyarakat dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita.  Oleh itu, rakyat Malaysia tidak perlu melancong  luar negara kerana Malaysia mempunyai segala-galanya.

Tuntasnya, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, jika usaha yang dilakukan amat kurang dan terbatas, bagaimanakah hasrat untuk melihat sektor pelancongan di negara kita merentasi benua dan dunia akan menjadi nyata. Segala usaha yang dirancang dan direncana memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak. Semoga melalui keprihatinan dan rasa bertanggungjawab serta cinta akan negara , nama Malaysia akan menjadi sebutan dan pilihan utama seluruh penduduk dunia sebagai destinasi merehatkan minda.

Karangan Bahagian B : Langkah langkah Untuk Melahirkan Keluarga Penyayang dalam kalangan Masyarakat di Malaysia



Keluarga merupakan satu institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat. Keluarga juga merupakan wahana kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Daripada keluarga, terpancarnya sinar kasih sayang di antara ahlinya. Dan daripada keluarga jugalah lahirnya insan yang bertanggungjawab terhadap dirinya serta insan lain yang memerlukan. Konsep “Baiti Jannati” atau “Rumahku Syurgaku” merupakan pepatah Arab yang sudah tidak asing lagi dalam kehidupan seharian kita. Rumah merupakan tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Galakan dan perangsang daripada ibu bapa yang penyayang dan adik-beradik yang memahami akan membentuk jati diri yang sempurna di kalangan ahli keluarga itu. Namun, pepatah ada mengatakan bahawa ‘ bertepuk sebelah tangan, tidak akan berbunyi’.Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab membentuk kebahagiaan keluarga itu di tangan salah seorang ahli keluarga sahaja seperti ibu, bapa atau anak-anak. Setiap ahli dalam sesebuah keluarga itu perlu bersedia memainkan peranan masing-masing untuk saling bertolak ansur, saling memahami serta saling menghormati di antara mereka. Apabila sifat ini dapat diwujudkan oleh setiap ahli dalam sesebuah keluarga, maka suasana yang harmoni akan dapat diwujudkan.

            Inisiatif perdana yang boleh dilakukan melalui peranan ibu bapa yang signifikan dalam usaha melahirkan keluarga “sakinah” dalam masyarakat adalah menererusi sikap  Ibu bapa sendiri yang perlu menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak. Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati di antara satu sama lain. Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka. “Bapa borek, anak rintik” .Jika contoh yang negatif diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Pertengkaran, maki hamun serta penderaan suami terhadap isteri bukan sahaja akan menjejaskan perkembangan jiwa anak-anak, tetapi juga akan menjejaskan hubungan di kalangan anak-anak. Mereka juga akan sentiasa bertengkar dan tidak menghormati satu sama lain. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi neraka kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di rumah tidak dapat dinikmati, maka anak-anak akan berusaha mendapatkannya daripada kawan-kawan dengan berpelesiran serta melepak di pusat-pusat beli belah. Adalah lebih malang lagi jika apabila anak-anak itu berumah tangga kelak, mereka akan mengulangi sejarah yang tidak berkesudahan yang telah diwarisi oleh mereka daripada kedua-dua orang tua mereka.

            Usaha selanjutnya ialah Ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga mereka. Hal ini boleh dilakukan oleh bakal-bakal ibu dan bapa dengan mengikuti kursus-kursus praperkahwinan serta kursus selepas berkahwin yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing. Dalam kursus-kursus tersebut, suami isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia melalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereka mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan.
                                                                                                                                                         
                                                                                                                                                         


 Pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat. Mereka sibuk mengejar pangkat dan kemewahan dunia sehingga alpa akan obligasi mereka sebagai ibu bapa untuk mencurahkan kasih sayang terhadap cahaya mata mereka bagai menjaga intan dicanai. Statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan kerana anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Oleh itu, demi membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka.

             Bersyukurlah kita sebagai rakyat Malaysia kerana sesungguhnya pada masa kini, kerajaan telah mengumumkan hari Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan sebagai cuti umum. Manakala pihak swasta pula , turut memberikan pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan. Seharusnya, ibu dan bapa merebut kesempatan ini sebagai peluang keemasan  untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah penat bekerja. Menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama keluarga akan memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk mengeratkan hubungan di antara mereka. Sekiranya masa yang berkualiti untuk bersama-sama dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan. Jadi, anak anak tidak akan berasa dipinggirkan. Manfaatnya, mereka tidak akan terjebak dalam gejala sosial yang kian menular izharnya dapat kita lihat dalam kalangan remaja seperti merokok dan mencuri kerana hadir ibu bapa sebagai tempat mereka untuk melontarkan isi hati dengan meluahkan perasaan di samping melegakan tekanan perasaan yang dialami akibat daripada pembelajaran dan masalah peribadi yang telah diselesaikan bersama sama orang tua mereka.

            Didikan agama dan moral yang sempurna di kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan, pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadang kala tidak munasabah. Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberi didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral di kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama adik beradik. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Hati kuman sama dicecah, hati gajah sama dilapah. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.


            Secara konklusinya, keluarga yang sakinah dan saadah hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru, didiklah anak dengan penuh ikhlas dan kasih sayang sejak jari jemari mereka masih lembut. Hal ini penting kerana tiadalah guna melentur jika hati sekeras buluh.  Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Keluarga Asas Pembentukan Masyarakat. Maju keluarga, maka majulah masyarakat. Pincang keluarga, musnahlah masyara

Karangan bahagian B : Manfaatkan usia remajamu



Dengan apakah akan kaupenuhi
piala remajamu
adakah cuka kesangsian
dari cinta murah
atau madu ajran
dari ilmu akidah


Petikan di atas merupakan sajak ‘Harga Remaja’ yang mengutarakan persoalan tentang pengisian kehidupan remaja sama ada menghabiskannya dengan cinta monyet ataupun pencarian ilmu yang bersungguh sungguh. Sesungguhnya, golongan remaja, tidak dapat dinafikan, merupakan modal insan ataupun aset berharga kepada nusa dan bangsa. Demi pembangunan negara, negara berhasrat untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, yakni berpendidikan, berwawasan, berdedikasi, berkaliber dan berdisiplin. Oleh hal yang demikian, dalam RMK-9, sebanyak 20.6 peratus diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti modal insan dengan meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu. Dalam konteks ini, sasaran modal insan ialah remaja atau tenaga muda kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Golongan mudalah yang dapat menyumbangkan idea dan tenaga demi pembangunan negara dalam segala bidang, khususnya dari aspek iktisad. Jadi, bagaimanakah remaja dapat memainkan peranan dalam usaha merealisasikan visi kudsi kerajaan, yakni melahirkan modal insan yang berkualiti.

                  
                    Sebagai bakal modal insan yang berkualiti, seseorang remaja hendaklah berbekalkan pendidikan formal yang sempurna. Maksud saya, setiap remaja haruslah memerah otak sehingga mencapai ijazah kelas pertama, sarjana muda, dan jika diizinkan Allah sehingga falsafah kedoktoran. Kita boleh mencapai kemuncak dalam bidang pendidikan dengan berbekalkan semangat yang kental dan usaha yang gigih. Demi mencapai kejayaan yang cemerlang, ruyung perlulah dipecahkan untuk menikmati sagunya. Malangnya, remaja dewasa ini bersemangat rapuh dan mudah putus asa apabila menempuh onak dan duri; genggam-genggam bara, terasa hangat dilepaskan. Senario ini amat ketara dalam kalangan pemuda pemudi kita kerana rata-rata melepaskan batuk di tangga. Apabila memperoleh diploma, mereka sudah puas dan berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mencari pekerjaan. Yang bernasib baik dapat bekerja sebagai jururawat di hospital swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Yang bernasib malang pula bergelandangan di perut kota dengan segulung diploma dari sebuah pejabat ke sebuah pejabat. Kata orang tua-tua, asal sabut terapung, asal besi tenggelam. Tuntasnya, demi menjadi modal insan yang berguna kepada tanah air, remaja perlulah bertungkus lumus untuk memperoleh pendidikan yang setinggi mungkin. Bukankah genggam bara api biar sampai jadi arang?     
          
                  Selain melengkapkan diri dengan pendidikan, remaja hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat. Saya katakan demikian oleh sebab kesihatan menjamin kecergasan dan kecerdasan seseorang individu sejajar dengan kata hikmat badan cergas, otak cerdas. Dunia ini dunia stres tidak dapat dinafikan kerana siapa cepat, dia dapat. Demi mengejar pangkat dan pendapatan yang tinggi, kesihatan diabaikan. Oleh sebab terlalu ghairah akan kertas hijau dan merah, mereka kesuntukan waktu untuk bersenam, beriadah, dan bersantai. Apabila sudah terlantar di hospital seperti kura-kura terlentang kerana hipertensi, segala-galanya sudah terlambat; kuman menjadi barah; belukar menjadi rimba. Menurut berita di Utusan Melayu baru-baru ini, seorang mekanik motor berkuas tinggi (superbike) yang berusia 38 tahun dikejarkan ke hospital bahana serangan sakit jantung. Sesampainya di Hospital Daerah Seberang Jaya, dia pun disahkan sudah berpindah ke balik papan. Persoalannya, bolehkah generasi muda yang berpenyakit dapat menyumbangkan tenaga ke arah pembangunan negara? Jadi sebagai generasi muda yang berpendidikan, kita haruslah mengambil inisiatif untuk melakukan senaman secara konsisten, seperti bersenam di gim ataupun beriadah di taman rekreasi. Selain itu, kita perlu menjaga pemakanan setiap masa; kita perlu makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Seperkara lagi, rokok, najis dadah dan arak sewajarnya dihindari kerana mengundang pelbagai komplikasi. Tegasnya, gaya hidup sihat hendaklah menjadi agenda perdana dalam kamus hidup kita jika hendak menjadi modal insan yang berkualiti.        


       
                 Di samping gaya hidup sihat, remaja hendaklah mempunyai jati diri yang unggul demi menjadi modal insan yang dapat menyumbang kepada nusa dan bangsa. Antara keperibadian unggul termasuklah tingkah laku yang sopan dan mempunyai darjah kesusilaan yang tinggi berpaksikan prinsip kelima Rukun Negara, yakni kesopanan dan kesusilaan. Hal ini dapat memandu dan memimpin generasi muda agar tidak terbabas dari landasan yang benar lalu terjerumus ke dalam lembah laknatullah, seperti berjinak-jinak dengan najis dadah, yang menghancurkan wawasan negara, iaitu Wawasan 2020. Menurut pakar motivasi yang tersohor dan disegani masyarakat Melayu, Datuk Haji Dr. Fadzilah Kamsah, banyak anak muda yang terperosok ke dalam kancah maksiat, seperti sumur di tepi jalan, siapa haus boleh minum (perempuan sundal), ekoran terhakisnya nilai-nilai moral. Sehubungan ini, remaja haruslah menyemaikan nilai-nilai kemanusiaan dan kerohaniaan, seperti amanah, tulus ikhlas, toleransi dan bertimbang rasa, dalam lubuk kalbu mereka agar menjadi modal insan yang bersahsiah mulia serta menjaga imej tanah air yang tercinta ini. Apa gunanya anak gadis yang cantik tetapi tidak bersopan santun laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak. Anak gadis yang tidak bermoral bukan sahaja dianggap sebagai cacing di pelimbah malahan dilabelkan sebagai sampah masyarakat. Jadi, anak-anak muda kita haruslah mematuhi adat dan peraturan di mana-mana sahaja mereka berada; di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Pendek kata, modal insan yang berkeperibadian mulia bukan sekadar dapat menyumbang ke arah pembangunan negara malahan dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
                
Tidak ketinggalan juga, generasi muda haruslah menghayati ajaran al-Quran. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja yang mematuhi ajaran al-Quran, bangsa Malaysia yang budiman dan disegani dapat dilahirkan. Dalam konteks ini, remaja dapat membezakan yang mana intan, yang mana kaca. Remaja yang beriman dan berpaksikan akidah tidak akan menjadi hamba kepada hawa nafsu. Mereka mengetahui siapa yahudi, siapa nasrani, dan siapa majusi. Dengan berbekalkan usuluddin ataupun ilmu tauhid, yakni ilmu yang membicarakan akidah agama Islam yang berhubung dengan ketuhanan, kenabian, dan perkara-perkara yang ghaib seperti qadak dan qadar, hari akhirat, syurga, dan neraka, mereka akan menjauhi angkara dan maksiat. Anak gadis yang soleh, misalnya, akan menjaga gerak-geri apabila berinteraksi dengan kaum lelaki. Tutur kata dan tingkah laku akan dijaga agar tidak mencemari imej keluarga. Kata orang, biar buruk kain dipakai, asal pandai mengambil hati. Ajaran agama Islam juga mencelikkan mata remaja bahawa dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang keruh dan dari telaga yang keruh, tak akan mengalir air yang jernih. Dengan adanya kesedaran ini, tumbuk rusuk ataupun rasuah yang dapat menghancurkan negara dapat dihindarkan. Tuntasnya, nilai-nilai keagamaan hendaklah disemaikan dan disuburkan dalam lubuk sanubari setiap remaja untuk menjadi modal insan yang berkualiti.
             
 Akhirulkalam, modal insan yang menjadi harapan negara ialah generasi muda yang berpendidikan formal, berjati diri mulia, sihat wal afiat dan beriman. Demi mendukung cita-cita dan hasrat negara ini, remaja hendaklah melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat membentuk jati diri yang unggul, bukannya membilang buah kerayung seperti melepak di kompeks beli-belah, berlumba haram dan berjudi. Sebagai warganegara yang berjiwa patriotik, remaja haruslah mengetepikan aliran politik yang sempit yang berorientasikan komunalisme (fahaman perkauman) demi kepentingan nusa dan bangsa. Seperkara lagi, nilai-nilai negatif hendaklah dikikis sama sekali kerana memang susah untuk mengikis tabiat buruk. Bukahkah ayam pulang ke lombong, itik pulang ke pelimbahan? Remaja juga sewajarnya berfikir dengan semasak-masaknya sebelum bertindak dalam apa-apa juga aspek kehidupan kerana ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Tiada gunanya kita menyesali sesuatu tindakan yang sudah menimpa diri kerana sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Dengan kesedaran ini, remaja bukan sahaja akan menjadi modal insan kelas pertama bahkan dapat memperkasakan bangsa Malaysia sebagai bangsa yang maju yang dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.

Karangan Bahagian A : Faedah faedah Laman Sosial




                Siapa di antara kita yang masih lagi tidak tahu apa itu laman web sosial? Laman web sosial kini menjadi pengantara antara seseorang individu dengan individu lain untuk tujuan tertentu. Laman sosial seperti “Facebook”, “My Space”, “Frienster”, “Twitter” dan sebagainya mendapat perhatian masyarakat di negara ini terutamanya golongan remaja. Laman sesawang rangkaian sosial tersebut telah menjadi satu trend dalam kehidupan masyarakat masa kini. Remaja kini telah menjadikan penggunaan laman sosial di internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan laman sosial ini telah memberikan kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup para remaja.

Sebagaimana yang kita ketahui,penggunaan laman sosial dapat menambah kenalan yang baru di samping hubungan yang telah lama terputus dapat dieratkan semula. Apabila seseorang itu telah menamatkan sesuatu pengajian di sekolah menyebabkan mereka telah terputus hubungan antara satu sama lain. Laman sosial ini digunakan sebagai suatu medium utama untuk mencari kenalan lama yang telah terputus. Mereka dapat mengetahui kerjaya yang telah diceburi oleh rakan dan dapat berinterasi antara satu sama lain. Gambar yang telah diletakkan di dalam profil juga boleh dilihat dan dikomen oleh semua rakan. Mereka juga dapat menyampaikan maklumat seperti mengadakan satu perjumpaan di sesuatu tempat dengan mengumpulkan guru-guru dan rakan-rakan. Perkara ini menjadi mudah kerana dapat menjimatkan masa dan tenaga dengan cara menggunakan kemudahan yang sedia ada. Jadi jelaslah bahawa penggunaan laman sesawang sosial boleh menambahkan kenalan yang baru.

Selanjutnya, laman sosial mampu membantu kita  mempromosikan sesuatu barangan tamsilnya apabila seseorang yang ingin menjalankan perniagaan melalui urusan jual beli secara online. Menerusi bidang perniagaan izharnya, kita boleh meningkatkan penggunaan laman sosial ke arah kebaikan iaitu  dengan memasar dan menjual barangan secara mudah dan tidak perlu mengerah tenaga yang maksima untuk pergi ke pusat beli belah dan berbaris panjang. Secara tidak langsung, kita telah mewujudkan rangkaian korporat persendirian yang dipanggil Intranet . Hal ini dapat dibuktikan melalui laman sosial seperti Instagram. Para perniaga hanya perlu memuat naik gambar ke Instagram sahaja untuk mempamerkan barang jualan mereka. Maka bermula dari sini orang ramai boleh membeli di rumah walaupun jarak mengehadkan kemudahan urusan jual beli mereka. Alangkah untungnya kita kerana hidup pada alaf globalisasi yang serba moden dan berteknologi ini !

Tambahan pula, dengan adanya rangkaian sosial ini, kita mudah untuk menyebarkan maklumat atau sesuatu perkara yang brfaedah kepada rakan rakan mahupun masyarakat. Tamsilnya, ketika ingin melakukan majlis jemputan kahwin kita perlu mencari alamat rakan masing-masing. Tapi kini dengan kecanggihan laman sosial, kad kahwin boleh dihantarkan ke sana dan dimaklumkan kepada rakan-rakan. Kita juga dapat berkongsi maklumat. Melalui pengaplikasian laman sosial, kita tidak perlu membuka televisyen untuk mengetahui isu semasa yang kian hangat diutarakan oleh masyarakat. Hanya perlu membuka Twitter dan mereka yang bertugas akan menyalurkan maklumat terkini seperti berita pesawat MH17 dan rakyat Palestin yang dalam kesengsaraan. 

Sebagai akhirul kalam, penggunaan laman sosial ini sememangnya berjaya mendatangkan banyak kebaikan kepada masyarakat khususnya dalam kalangan para remaja. Namun, pastinya bahawa setiap perkara yang membawa kebaikan wajar dituruti oleh kemudaratan. Jadi, impak negatif yang wujud haruslah diberi perhatian yang serius dan tidak boleh dipandang enteng oleh masyarakat Pendek kata, apa yang signifikan ialah semua pihak perlu berwaspada dengan cermat dan bertanggungjawab ke atas segala maklumat yang ingin disebarkan serta dikongsi agar tidak membawa padah kepada diri dan orang lain. Sebagai manusia yang berakal pastinya kita perlu menangkis setiap perkara yang buruk bak kata pepatah yang ada mengatakan bahawa “mencegah itu lebih baik daripada mengubati.”