Attention! You have stepped onto ♥ Izzati Nadia's online journal ♥ Welcome and thanks dear! With pleasure, you are invited to visit this page again and again in future│FollowDashboard
Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar Astaghfirullah

Biology : Struktur Sel Haiwan Tumbuhan

 
 
 
Nukleus
1. Nukleus (nucleus) ialah organel yang besar, tumpat dan berbentu sfera. Nukleus juga dilingkungi oleh membran nukleus. Nukleus juga mengandungi nukleoplasma dan struktur sfera gelap yang disebut nukleolus (nucleolus).
2. Kromatin (chromatin) ialah keadaan kromosom semasa sel tidak membahagi dan terkandung di dalam nukleoplasma. Kromosom membawa maklumat genetik yang akan menentukan sifat dan fungsi sel.
3. Nukleus sangat penting kepada sel dalam mengawal segala aktiviti sel. Misalnya, sintesis protein adalah dikawal oleh maklumat yang terkandung dalam kromosom.
 
Mitokondrion
Mitokondrion (mitochondrion) adalah organel kecil berbentuk sfera atau silinder, dan terlibat dalam respirasi sel. Proses respirasi sel ini membebaskan tenaga apabila bahan makanan seperti glukosa dioksidakan dengan bantuan enzim yang hadir dalam mitokondrion. Tenaga yang dibebaskan disimpan dalam bentuk molekul ATP (adenosina trifosfat) dan sedia digunakan oleh sel.
 
Jalinan endoplasma
1. Jalinan endoplasma (endoplasmic reticulum, ER) ialah jaringan membran berlipat yang membentuk tiub yang saling berhubungan. Membran jalinan endoplasma bersambung secara fizikal dengan membran nukleus.
 
2. Terdapat dua jenis jalinan endoplasma iaitu:
 
Jalinan endoplasma kasar (rough endoplasmic reticulum, RER). Jalinan endoplasma kasar mempunyai ribosom pada permukaannya, dan mengangkut protein yang disintesis oleh ribosom. Protein yang dirembes keluar daripada jalinan endoplasma kasar dibungkus dalam vesikel. Protein kemudiannya diangkut dari satu bahagian sel ke bahagian sel yang lain.
Jalinan endoplasma licin (smooth endoplasmic reticulum, SER). Jalinan endoplasma licin tidak mempunyai ribosom pada permukaannya, merupakan tapak tindak balas metabolisme yang penting seperti sintesis lipid dan penyahtoksikan dadah dan racun.
 
Jasad Golgi
1. Jasad Golgi (Golgi apparatus) terdiri daripada satu timbunan kantung pipih. Jasad Golgi berfungsi sebagai pusat memproses, membungkus dan mengangkut bahan seperti karbohidrat, protein, fosfolipid, dan glikoprotein.
2. angkutan yang membawa hasil seperti protein daripada jalinan endoplasma kasar bergabung dengan membran jasad Golgi dan protein masuk ke dalam ruang membran. Protein tersebut diubah suai disepanjang perjalanannya melalui jasad Golgi.
3. Jasad Golgi kemudiannya akan mengasingkan hasil-hasil ini dan membungkusnya ke dalam vesikel rembesan. Vesikel rembesan yang mengandungi bahan ini menggenting daripada membran jasad Golgi dan menuju ke bahagian sel yang lain atau ke membran plasma. Vesikel rembesan kemudian bergabung dengan membran plasma sebelum merembes kandungannya keluar daripada sel.
 
Ribosom
1. Ribosom (ribosome) merupakan organel berbentuk sfera yang terdapat pada permukaan jalinan endoplasma kasar (rough endoplasmic reticulum) atau wujud sebagai ribosom bebas dalam sitoplasma (cytoplasm).
2. Setiap ribosom terdiri daripada asid ribonukleik (RNA) dan protein. Sintesis protein seperti enzim berlaku dalam ribosom. Ribosom menggunakan maklumat yang terkandung dalam krmosom untuk menghasilkan protein.
 
Lisosom
1. Lisosom (lysosomes) ialah kantung bermembran yang mengandungi enzim hidrolisis (hydrolylic enzymes). Enzim ini menguraikan bahan organik yang kompleks seperti protein, lipid, polisakarida, dan asid nukleik. Lisosom juga menyingkirkan mitokondrion dan organel lain yang rosak supaya organel baharu dapat dihasilkan.
2. Pada sesetengah organisma, di dalam selnya, lisosom bergabung dengan vakuol makanan untuk merembeskan enzim ke dalam vakuol bagi mencernakan kandungan dalam vakuol. Hidrolisis makanan oleh enzim menghasilkan nutrien untuk kegunaan sel. Lisosom juga mencernakan bakteria dengan menguraikan dinding sel bakteria.
 
Vakuol (Biasanya dalam sel tumbuhan sahaja. Pada sel haiwan, jika ada vakuol, ianya adalah kecil)
1. Vakuol (vacuole) ialah kantung berisi cecair yang dikelilingi oleh membaran separa telap yang disebut tonoplas (tonoplast). Cecair yang terkandung di dalam vakuol disebut sap sel (cell sap).
Sel tumbuhan yang tipikal mempunyai vakuol bersaiz besar manakala sel tumbuhan muda mempunyai banyak vakuol bersaiz kecil.
2. Mikroorganisma air tawar seperti paramecium sp. mengandungi vakuol mengecut dan vakuol makanan. Vakuol mengecut terlibat dalam pengawal-aturan keseimbangan air dalam organisma ini. Vakuol berperanan sebagai tempat simpanan dalam sel.
3. Sap sel (cell sap) dalam vakuol mengandungi air, asid organik, gula, asid amino, garam mineral, bahan buangan, dan hasil sampingan metabolisme. Sap sel juga menyokong tumbuhan herba supaya tidak mudah layu.
 
Sentriol (dalam sel haiwan sahaja)
Sentriol (centrioles) ialah sepasang struktur silinder kecil yang terletak di luar nukleus. Sentriol terdiri daripada susunan mikrotiub yang kompleks. Sentriol membentuk gentian gelendong semasa pembagian sel dalam sel haiwan. Sentriol tidak terdapat dalam sel tumbuhan.
Kloroplas (dalam tumbuhan hijau)
Kloroplas (chloroplast) berbentuk bujur. Struktur membran dalam kloroplas mengandungi pigmen hijau yang dikenali sebagai klorofil (chlorophyll). Klorofil menyerap cahaya matahari dan menukarkannya kepada tenaga kimia semasa fotosintesis (photosynthesis). Klorofil memberikan warna hijau kepada tumbuhan.

Sitoplasma
Sitoplasma (cytoplasm) ialah bahagian antara nukleus dan membran plasma yang terdiri daripada bahan seperti jeli, tempat organel sel terbenam. Sitoplasma mengandungi sebatian organik serta sebatian tak organik yang bertindak sebagai medium bagi tindak balas biokimia dam sel. Sitoplasma turut membekalkan organel dengan bahan keperluan yang diperoleh daripada luar sel.
 
Membran plasma
Membran sel ialah istilah umum yang merujuk kepada semua jenis membran yang terdapat dalam sel. Membran yang terdapat pada permukaan dan meliputi kandungan sel dikenali sebagai membran plasma (plasma membrane). Membran plasma membentuk sempadan yang mengasingkan kandungan sel daripada persekitaran luar. Membran plasma adalah separa telap dan bersifat telap memilih. Membran ini mengawal atur pergerakan bahan ke dalam dan ke luar sel.
 
Dinding sel (dalam sel tumbuhan sahaja)
Dinding sel (cell wall) ialah lapisan luar yang tegar yang mengelilingi membran plasma tumbuhan. Dinding sel terbina daripada gentian selulosa, iaitu sejenis karbohidrat yang kuat dan tegar.
Dinding sel bersifat telap terhadap semua jenis bendalir kerana mempunyai liang-liang seni yang membolehkan pergerakan bebas bahan antara bahagian luar dan dalam sel. Dinding sel memberikan bentuk yang tetap serta sokongan dan perlindungan kepada sel tumbuhan. Dinding sel juga melindungi sel tumbuhan daripada pecah akibat kemasukan air yang banyak.
 

No comments:

Post a Comment

Bismillah, jadilah seorang pengkritik yang berhemah, jujur dan tidak mendengki agar orang yang dikomen mendapat manfaat daripada komen kita #HNquotez