Marilah kita belajar memahami tiga istilah ini
Tiga istilah itu ialah abai, cuai dan lalai
Ada orang mengabaikan agama,
ada orang mencuaikan agama,
ada orang lalai beragama
Apakah erti mengabaikan agama?
Mengabaikan agama tidak melaksanakan
Ibadah dan syariat
Tidak fikir halal dan haram
Tidak faham rukun iman, tidak faham rukun Islam,
tidak faham apakah itu ihsan
Sekalipun dia mengaku Islam,
dia tidak mempedulikan agama
Islamnya hanya keturunan,
mungkin ibu dan bapanya Islam
Atau mungkin juga dia tahu sedikit sebanyak
mengenai Islam
Kerana pengaruh dunia dia tidak mengerjakannya
Itulah dia erti mengabaikan agama
Apakah erti cuai?
Cuai ini agak baik sedikit
Seseorang itu mengerjakan agama
tapi apabila sempat sahaja
Jika tidak sempat ditinggalkan sahaja
Atau waktu ada mood dibuat,
waktu tidak ada mood ditinggalkannya
Mungkin dikerjakan juga agama di waktu lapang,
tidak sibuk, di waktu sibuk atau sakit ditinggalkan pula
Ada orang di waktu senang dikerjakan
di waktu susah ditinggalkan
Termasuk cuai sebahagian ajaran Islam dikerjakan
dan sebahagian lagi ditinggalkan
Itulah dia erti cuai beragama
Apa erti lalai?
Erti lalai, syariat-syariat lahir semuanya dikerjakan
Orang ramai lihat dia beragama
dan taat orangnya dengan Tuhan
Tapi ibadahnya tidak dihayati,
bahkan setengah bacaan-bacaannya
tidak pun difahami
Tidak difahami apakah tuntutan ayat-ayat
dan bacaannya yang diucapkan di dalam ibadahnya
Termasuk juga lalai,
ibadah lahirnya tidak boleh dipersoalkan,
lengkap tidak diabaikan
Namun takut dengan Tuhan tidak ada
Begitu juga cintakan Tuhan tidak ada di dalam jiwanya
Rasa kehambaannya tidak ada di dalam perasaannya
Kerana tertipu dengan ibadah lahirnya
tidak terasa lagi berdosa
Hatinya rasa selamat kerana ibadahnya
Adakalanya dia jadi sombong
dan megah dengan ibadahnya
Itulah dia di antara gambaran orang yang lalai
Orang yang beribadah begini, tidak ada nur di mukanya
Adakalanya orang boleh benci melihatnya
padahal dia ahli ibadah
Dia termasuk orang yang tertipu di dalam ibadahnya
Orang yang bertaqwa itu ialah tidak mengabaikan,
tidak cuai dan tidak lalai dengan agamanya
Ini orang yang selamat dan menyelamatkan dunia Akhirat