Warning ! You have stepped onto Pinkcess's Zone Follow me and Leave your footsteps on this page │FollowDashboard
Allahuakbar Alhamdulillah Subhanallah Astaghfirullah

Hantaran vs. Mahar

Ada di antara kita yang masih keliru mengenai 2 perkara ini. Bahkan ada yang menganggap tanpa Mas Kahwin & Wang Hantaran majlis Akad Nikad tidak dapat dijalankan. Berikut adalah perbezaan Mas Kahwin dan Wang Hantaran.

Definasi:

Mas Kahwin atau dahulu dikenali sebagai Mahar, menurut istilah syara’ ialah suatu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab pernikahan.

Wang Hantaran merupakan satu bentuk hadiah berupa wang tunai yang dipersetujui oleh dua pihak keluarga.

Hak Milik:

Menurut Abu Hanifah, isteri berhak mendapat Mahar apabila akad nikahnya sah. Pemberian Mahar ini akan menjadi hak sepenuhnya isteri. Suami mahupun keluarga tidak boleh mengambil sedikit pun bahagian daripada Mas Kahwin tersebut melainkan sekiranya dibenarkan isteri.

Manakala Wang Hantaran pula bukanlah hak milik mutlak sepenuhnya isteri pada neraca syarak dan ia boleh diambil oleh keluarga pihak isteri untuk menyelenggarakan majlis. perkahwinan.

Hukum:

Pemberian Mas Kahwin adalah WAJIB berdasarkan Surah An-Nisa: Ayat 4.

“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

Pemberian Wang Hantaran adalah TIDAK WAJIB.Petikan dari Sinar Harian bertajuk Fahami Konsep Wang Hantaran;

“Wang Hantaran Kahwin hanya termasuk perkara adat istiadat perkahwinan orang Melayu. Tiada nas daripada al-Quran mahupun Hadis menetapkan kewajipan memberi Wang Hantaran dalam majlis perkahwinan, kata Ustaz Mohd Yaakub Mohd Yunus,”

Nilai:

Nilai Mahar adalah bergantung kepada uruf iaitu keadaan semasa dan suasana sesuatu tempat dan masyarakat. Di Malaysia, pemberian Mas Kahwin diberikan dalam bentuk wang ringgit yang kadarnya berbeza dari satu negeri dengan satu negeri yang lain. Nilainya kini dalam lingkungan RM22 hingga RM120.

Ada yang bertanya, Mas Kahwin nak beli apa?

Memandangkan Mas Kahwin adalah hak milik isteri, maka terpulang kepada isteri untuk membelanjakannya. Kebanyakkannya membeli barang kemas seperti rantai, gelang atau subang. Ada juga yang melabur dalam simpanan hari tua.

Nilai Wang Hantaran pula terpulang kepada keluarga pasangan untuk menentukan kadarnya. Tiada kadar minimum yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Kebiasaannya keluarga perempuan akan berbincang mengenai nilai Wang Hantaran sewaktu majlis pertunangan. Nilainya kini dalam lingkungan RM5,000 hingga RM20,000 bergantung pada kemampuan keluarga masing-masing.

Ada juga yang tertanya, Wang Hantaran Kahwin digunakan untuk apa?

Dalam adat Melayu, Wang Hantaran merupakan bantuan bagi pihak isteri untuk belanja kahwin. Ia bertujuan mengurangkan beban isteri dan keluarga isteri dalam membuat persiapan majlis perkahwinan.

Kesimpulan:

Mas Kahwin adalah Hak Isteri yang WAJIB diberikan oleh suami manakala Wang Hantaran pulak adalah TIDAK WAJIB dan merupakan hadiah bernilai wang tunai kepada pihak isteri untuk belanja kahwin.

Sungguh pun demikian, Islam menganjurkan agar kita mengambil jalan tengah iaitu tidak meletakkan Mahar terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah.

Rasulullah s.a.w. menggalakkan kita agar mempermudahkan Mahar sebagaimana dalam sabdanya:

“Kebanyakan perempuan yang berkat perkahwinannya ialah yang mudah (rendah) tentang perbelanjaan ( Mahar ).”

Mudah di sini bermaksud tidak memberatkan mana-mana pihak terutamanya pihak lelaki yang perlu memberinya

No comments: