PERCAYA ataupun BELIEVE! Pelajar cemerlang sentiasa
percaya bahawa mereka boleh cemerlang. Hanya faktor masa sahaja yang
akan membuktikan segala usahanya. Mereka tidak pernah ragu-ragu dengan
kemampuan mereka untuk melakukan apa sahaja dan sanggup berkorban untuk
berjaya. Jika kita sendiri tidak yakin bahawa kita boleh berjaya,
masakan orang lain dapat membantu kita untuk Berjaya.
Pernahkah para pelajar mendengar akan satu hadis mengenai pembukaan Kota Constantinople? Hadis
ini diriwayatkan ketika contoh manusia cemerlang iaitu baginda
Rasulullah SAW dan para sahabat sedang menggali parit ketika peperangan
Khandak. Dalam keadaan yang getir dan memenatkan itu, Rasulullah SAW
bersabda, “Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.” (Hadith Riwayat Ahmad, al-Hakim dan Bukhari dalam kitab Tarikh as Saghir).
Bertitik
tolak dari saat itu, para sahabat dan ummat Islam seluruhnya yakin dan
percaya bahawa suatu hari akan tetap dibuka Kota Constantinople yang
pada ketika itu dalam jajahan takluk Rom. Asas kepercayaan dan yakin
bahawa umat islam mampu melakukannya telah membuahkan beberapa siri
cubaan untuk membuka kota ini sejak dari zaman sahabat, zaman khulafa’
ar rasyidin dan akhirnya di zaman Sultan Muhammad al Fatih.
1.Era sahabat RA :
Bertitik tolak dari hadith ini, Abu Ayub al-Ansari ra bersama barisan tentera Muslimin telah diutuskan oleh Muawiyah ra
untuk bergerak menuju ke medan perjuangan dalam usaha merealisasikan
kata nabi ini. Taqdir Allah mengatasi tadbir manusia, kemenangan
ekspidisi itu ditangguhkan olehNya dan akibatnya, Abu Ayub telah menemui
syahid dalam peperangan tersebut
2.Era Khalifah Selepas Sahabat RA :
Kegagalan
“generasi terbaik” (era sahabat) tidak mematikan semangat juang
muslimin. Sebaliknya, perjuangan diteruskan oleh khalifah-khalifah
seterusnya, termasuklah bapa kepada Sultan Muhammad al-Fatih, Sultan Murad II.
Namun, kesemuanya masih menemui kegagalan kerana masih belum menepati
ciri-ciri sebaik-baik pemimpin dan tentera yang menjadi syarat
kemenangan seperti yang dijanjikan oleh Nabi SAW.
3.Era al-Fatih :
Pada usia semuda 19 tahun, al-Fatih telah diberi mandat untuk memimpin kerajaan Islam Uthmaniyah. Semenjak usia kanak-kanak lagi, beliau telah dididik oleh Sheikh Ismail al-Kurani
yang mengajarkannya al-Quran, Hadith, tauhid dan pelbagai cabang ilmu
syariah telah melayakkan beliau menjadi pemimpin yang adil dan berakhlak
mulia.
Selain Sheikh Ismail, beliau turut ditarbiyah oleh seorang yang alim bernama -Sheikh Ak Semsettin/Syamsuddin.
Beliau bukan sekadar mengajar cabang-cabang ilmu syariah, sebaliknya
al-Fatih turut diajar mengenali ilmu-ilmu sunnatullah seperti matematik,
ilmu peperangan dan lain-lain. Sheikh Semsettin bukan sahaja bertindak
sebagai gurunya di kala muda, malah dalam setiap keputusan dalam
pemerintahan juga akan dirujuk kepada Sheikh Semsettin /Syamsuddin dalam
memastikan setiap keputusan itu bertepatan dengan kehendak Allah dan
RasulNya. Beginilah telitinya Al-Fatih dalam menjaga hukum Allah.
Constantinople
tetap menjadi idaman al-Fatih. Bukan nama dan kemasyhuran yang dikejar,
tetapi perjuangan demi mengejar gelaran dari Nabi saw sebagai
sebaik-baik pemimpin dan tentera yang menjadi matlamatnya. Oleh itu,
beliau telah menyiapkan sepasukan mujahid seramai 250 000 orang demi
merealisasikan tujuan ini. Para mujahid ini bukan sekadar dilatih dan
dilengkapkan dengan senjata bersifat zahiriah, mereka juga turut dididik
dengan taqwa untuk memenuhi kriteria yang dinyatakan oleh Rasulullah
saw.
Saban
hari al-Fatih bermunajat pada Allah swt mengharapkan bantuan dariNya.
Namun ikhtiarnya tidak terhenti sekadar munajat, bahkan beliau sendiri
pernah menyusup masuk ke dalam kota Constantinople secara rahsia, demi
mengkaji secara dekat akan kekuatan kubu dan juga untuk memahami
struktur sosial masyarakat Constantinople yang diperintah oleh Raja
Byzantine. Usaha sebeginilah yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana
khalifah sebelumnya yang mungkin mejadi asbab kepada kegagalan, akibat
gagal mengetahui kekuatan musuh.
Setelah merasa yakin dengan persediaan para tenteranya, dari segi keimanan dan kelengkapan, pada 6 April 1453M beliau memulakan serangan selepas rundingan bersama Raja Byzantine agar
diserahkan kota itu secara damai ditolak mentah-mentah oleh pihak
Byzantine. Peperangan berlanjutan selama 54 hari, namun kejayaan masih
belum dicapai. Pada subuh, 29 Mei 1453M,
semangat para mujahid telah ditingkatkan dengan ayat-ayat Allah dan
hadith-hadith Nabi saw berkaitan dengan jihad. Mereka diingatkan agar
mengikhlaskan niat. Akhirnya dengan lafaz, “Bergeraklah dengan
keberkatan dari Allah,” Syeikh Semsettin/Syamsuddin
melepaskan para mujahid untuk serangan “all out”. Dengan izin Allah,
maka pada hari tersebut, dibukalah kota Constantinople, dibuka dari
kezaliman Byzantine, dibuka dari jahiliyah kepada keadilan Islam.
Masyarakat yang majoritinya terdiri dari orang-orang Kristian dilayan
dengan saksama seperti yang diajar oleh Nabi saw. Nama Constantinople
turut ditukar kepada Islambol yang membawa maksud Bandar Islam.
Begitulah
beberapa rentetan peristiwa yang berlaku dalam sejarah umat islam yang
membuahkan satu dasar kefahaman bahwa andai sekiranya yakin dan percaya
pada diri dan janji Allah dan Rasul,nescaya ianya akan membuahkan hasil.
Hanya masa yang menentukannya.
Thomas
Alva Edison gagal lebih 10,000 kali sebelum berjaya mencipta
mentol. Colonel Sanders pula gagal lebih 1000 kali sebelum berjaya
mencipta resepi ayam goreng KFC. Adik beradik Wright pula terpaksa
berhadapan denganpelbagai cemuhan daripada masyarakat sebelum akhirnya
berjaya mencipta kapal terbang. Apakah persamaan yang ada pada mereka
yang telah berjaya ini?
Mereka
percaya bahawa walau apa sekalipon cabaran dan halangan, kejayaan pasti
akan menjelma satu hari nanti.Mereka percaya, benar-banar yakin tanpa
sedikitpon rasa ragu. Mereka sanggup menunggu saat kecemerlangan itu
tiba walaupon terpaksa berhadapan dan melakukannya ribuan kali. Sebabnya
ialah mereka PERCAYA. Kita
juga perlu percaya bahawa kita mampu lakukan sesuatu yang bermakna
untuk diri dan yang paling penting untuk umat Islam ini, keluarga,
masyarakat dan negara. Dan akhirnya, ingatlah tanpa anda yang merubah
apa yang ada pada diri anda, tiada siapa yang dapat membantu anda untuk
melakukannya. Percayalah!
Diriwayatkan
daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah
s.w.t berfirman: “Aku adalah berdasarkan kepada sangkaan hambaKu
terhadapKu. Aku bersamanya ketika dia mengingatiKu. Apabila dia
mengingatiKu dalam dirinya, niscaya aku juga akan mengingatinya dalam
diriKu. Apabila dia mengingatiKu dalam suatu kaum, maka Aku juga akan
mengingatinya dalam suatu kaum yang lebih baik daripada mereka. Apabila
dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, maka Aku akan mendekatinya dengan
jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, maka Aku akan
mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam
keadaan berjalan seperti biasa, maka Aku akan datang kepadanya dalam
keadaan berlari.” (Al-Hadith)