(TEMA) Setiap manusia yang hidup di
muka bumi ini mengimpikan kejayaan dalam apa-apa jua bidang yang diceburi.
Kejayaan yang dicapai akan membawa kegembiraan
dan kebahagiaan dalam kehidupan kita. (ISU) Kejayaan Nik Nur Madihah
dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2008 yang berjaya
memperoleh 20A walaupun beliau merupakan seorang anak tukang sapu dan nelayan
bukanlah satu perkara yang mustahil. Untuk meningkatkan pencapaian akademik,
usaha yang gigih amat diperlukan kerana
yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. (ARAHAN)
Persoalannya, apakah antara usaha yang sewajarnya dipraktikkan oleh seorang
pelajar untuk meningkatkan pencapaian akademik seterusnya menjadi pelajar yang
berjaya dalam pelbagai bidang?
(ISI 1) Cara perdana untuk
meningkatkan pencapaian akademik ialah pelajar itu perlulah belajar
bersungguh-sungguh secara istiqamah dengan mengaplikasikan teknik yang betul
dan efektif.(HURAIAN - MENGAPA) Hal ini dikatakan demikian kerana peningkatan
akademik mahupun kokurikulum merupakan satu platform yang signifikan untuk menjejakkan kaki di
menara gading dan sekali gus merealisasikan cita-cita kita. (CONTOH – BAGAIMANA
+ UNGKAPAN) Oleh itu, kita perlulah mengulang
kaji pelajaran dengan bersungguh-sungguh tanpa mengenal erti jemu kerana
usaha itu tangga kejayaan. Sesungguhnya, kejayaan itu tidak akan datang kepada manusia yang leka. (HURAIAN CONTOH –
KESAN) Dengan ini, pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik akan dapat
dilahirkan dan masa depannya akan lebih cerah. (PENEGAS) Tegasnya, kejayaan
seseorang pelajar dapat dicapai melalui kesungguhannya yang tekun dan gigih.
(ISI 2) Usaha yang seterusnya untuk
meningkatkan kokurikulum bagi seseorang pelajar adalah dengan mengunjungi perpustakaan sama ada
secara individu ataupun kumpulan. (HURAIAN – MENGAPA) Perpustakaan atau dalam kata lain iaitu pusat
sumber merupakan gedung ilmu yang mampu menyediakan bahan ilmiah dalam kuantiti
yang banyak ghalibnya kepada para penuntut ilmu dan masyarakat. (CONTOH –
BAGAIMANA) Bagi yang berkemampuan, kita juga boleh meletakkan sumber ilmiah
seperti majalah dan akhbar dengan mewujudkan satu sudut bacaan yang
berkonsepkan perpustakaan mini di bilik darjah mahupun di rumah agar masa
lapang kita diisi oleh perkara yang berfaedah tamsilnya membaca dan sebagainya.
(HURAIAN CONTOH – KESAN + UNGKAPAN) Ekoran daripada aktiviti-aktiviti seumpama
ini, pelajar akan menjadi lebih berminat dan tertarik untuk membaca di samping
mengulangkaji pelajaran seterusnya dapat menambahbaik pencapaian akademik. (PENEGAS)
Pendek kata, ayuhlah kita berganding bahu bersama sama bagai aur dengan tebing
dalam melahirkan masyarakat ulat buku agar penjanaan pemikiran yang kreatif dan
inovatif oleh masyarakat dapat ditingkatkan.
(ISI 3) Jika kita lihat dari
perspektif yang berbeza, pelajar yang inginkan kecemerlangan juga perlulah mengadakan
perbincangan berkumpulan bersama
rakan seperjuangan. (HURAIAN – MENGAPA) Terdapat banyak kebaikan daripada
perbincangan secara berkumpulan. Meningkatkan kefahaman dan menajamkan
keyakinan diri untuk menyuarakan pendapat merupakan salah satu contoh
faedahnya. (CONTOH – BAGAIMANA) Rakan-rakan
merupakan orang yang paling dekat dengan pelajar selain ahli keluarga.
Sebagai contoh, seseorang pelajar yang bersikap malu tidak berani untuk
bertanya kepada guru apabila dia menghadapi masalah dalam pelajaran. Sebaliknya
dia akan bertanya dan mengeluarkan buah fikiran di depan rakan-rakannya.
Berdasarkan hujah yang dinyatakan, jelaslah bahawa belajar secara berkumpulan
banyak manfaatnya kerana lebih seronok dan tidak membosankan. (HURAIAN CONTOH –
KESAN) Namun begitu, harus kita ingat bahawa dalam pergaulan wajarlah kita
menjaga adab agar tidak menggores hati dan memutuskan ikatan persaudaraan.
(UNGKAPAN MENARIK) Bukan itu sahaja, usaha kita untuk memburu kejayaan juga
tidak akan menjadi angan-angan Mat Jenin kerana Allah SWT tidak akan memberikan
sebuah kejayaan kepada barangsiapa yang memutuskan sillaturahim.
(PENUTUP - KESIMPULAN ISI-ISI) Sudah terang
lagi bersuluh bahawa terdapat beberapa cara yang perlu dipraktikkan oleh
seseorang pelajar untuk meningkatkan akademik bagi mengecapi kecemerlangan.
Ingatlah kata orang tua-tua bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat
sagunya kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. (CADANGAN) Oleh itu,
setiap pelajar yang menginginkan kejayaan perlulah mengorak langkah yang
sinergi dan pragmatik serta tidak mengamalkan sikap bertangguh kerana sikap bertangguh
itu merupakan pencuri masa. Ibu bapa juga perlulah sentiasa menjadi tulang
belakang yang menyokong kejayaan anak-anak dengan memberikan sokongan dan
dorongan kepada mereka untuk berjaya dalam bidang yang diceburi. (HARAPAN) Semoga
kejayaan para pelajar di negara kita ini dapat melahirkan generasi muda
berminda kelas pertama yang cemerlang, gemilang dan terbilang aspirasi negara
iaitu Wawasan 2020 berjaya digapai dengan mudahnya melalui kerjasama semua
pihak dan dapat bersaing dengan negara lain di pentas global.