3. Malaysia
merupakan destinasi pelancongan yang popular kerana mempunyai tarikan dan
keunikan tersendiri. Bincangkan.
Malaysia
merupakan sebuah negara yang istimewa.
Ramai pelancong memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Apakah sebab-sebab rakyat Malaysia
memilih untuk melancong di negara
sendiri? Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai jenis industri pelancongan yang
boleh dikomersialkan. Antaranya termasuklah destinasi pelancongan berasaskan
Kebudayaan, Industri Kraftangan, Makanan Tradisi, tempat-tempat menarik, Sukan
dan Agrotourism. Klasifikasi ini penting kerana pelancong mempunyai minat yang
berbeza dan memudahkan mereka membuat pilihan untuk melancong ke tempat-tempat
tersebut. Kebiasaannya, tempat tersebut wujud kerana mempunyai tarikan dan
keunikan tersendiri. Contohnya, destinasi pelancongan berasaskan tempat-tempat
menarik seperti Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Taman Negara
Bako. Selain itu, destinasi pelancongan berasaskan Sukan dapat direalisasikan
melalui penganjuran Sukan Antarabangsa seperti Formula 1 di Sepang dan Le Tour
De Langkawi yang menjadi acara tahunan di Pulau Langkawi. Jelaslah sektor
pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri dapat menarik minat
pelancong.
Antara
sebabnya ialah keindahan alam sekitar yang menarik terdapat di negara ini. Malaysia mempunyai hutan yang menarik. Tempat-tempat ini boleh menenangkan fikiran
kita contohnya, Taman Negara Endau, Rompin, Gua Niah di Sarawak dan lain-lain.
Promosi ini keunikan dan keindahan alam semula jadi telah diwara-warakan
melalui iklan-iklan di media cetak dan media elektronik termasuklah di
laman-laman web. pameran di
tempat-tempat awam seperti pasar raya, pertandingan-pertandingan dan
pesta jualan. Contohnya pertandingan memancing ‘Joran’ anjuran Berita Harian
yang diadakan saban tahun secara tidak langsung turut mempromosikan
tempat-tempat menarik di Malaysia seperti Pulau Tioman, Tasik Kenyir dan
Empangan Temenggor. Ringkasnya, Promosi
destinasi pelancongan yang giat dilakukan dalam usaha memperkenalkan destinasi
menarik di Malaysia merupakan pemangkin Malaysia menjadi lokasi tarikan utama
pelancong kerana tak kenal maka tak cinta.
Pada
masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya
keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara
yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini.
Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan
kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan
tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga.
Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat
dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan
makanan seperti sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal
dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya
masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong
untuk berkunjung ke negara kita yang menjadi faktor serampang dua mata dalam
menjana ekonomi negara.
Malaysia
juga mempunyai pantai-pantai yang menarik.
Apabila melancong di pantai,
pulau, dan kawasan tanah tinggi, kita dapat menghilangkan tekanan dan
mendapat hiburan. Rakyat Malaysia yang
melancong bersama-sama keluarga boleh mengeratkan hubungan sesama ahli
keluarga. Sebagai contoh Pulau Pinang,
Pulau Tioman, Pulau Langkawi, Port Dickson, Desaru Kota Tinggi, Tanah Tinggi
Cameron, Tanah Tinggi Genting dan lokasi lain yang boleh dijadikan destinasi
pelancongan keluarga. Sebagai contohnya,
Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk
seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong
dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat
pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika.
Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang
berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat
menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan
kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan
kawasan reakrasi seperti ini menjadi faktor dominan menarik pelancong dari dalam dan dari luar
negara.
Malaysia
juga popular dengan pusat-pusat
beli-belah yang terkenal. Contohnya,
Mega Mall di Kuala Lumpur, Mahkota Parade di Melaka, The Summit. Alamanda,
Mid-Valley dan lain-lain. Barangan yang
dijual di negara kita setanding dengan negara
di luar negara. Selain itu,
terdapat juga pelbagai kraftangan yang boleh dijadikan cenderamata. Pelancong sangat suka barangan kraftangan Malaysia kerana
menarik dan terdapat pelbagai tawaran harga murah oleh pelbagai pihak. Pada setiap tahun juga, diadakan promosi
harga barangan dan jualan mega. Contohnya seperti yang telah dilakukan oleh
‘First World Hotel’. Agensi tersebut telah menyediakan pakej yang murah,
serendah RM 88.00 untuk satu malam meliputi penginapan, makan malam, sarapan,
makan tengah hari dan lawatan ke taman tema. Jelasnya, melalui tawaran pakej
istimewa tersebut, sudah pasti pelbagai
golongan masyarakat dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk memajukan sektor
pelancongan di negara kita. Oleh itu,
rakyat Malaysia tidak perlu melancong
luar negara kerana Malaysia mempunyai segala-galanya.
Tuntasnya,
jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, jika usaha yang dilakukan
amat kurang dan terbatas, bagaimanakah hasrat untuk melihat sektor pelancongan
di negara kita merentasi benua dan dunia akan menjadi nyata. Segala usaha yang
dirancang dan direncana memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak.
Semoga melalui keprihatinan dan rasa bertanggungjawab serta cinta akan negara ,
nama Malaysia akan menjadi sebutan dan pilihan utama seluruh penduduk dunia
sebagai destinasi merehatkan minda.