Siapa di antara kita yang masih lagi
tidak tahu apa itu laman web sosial? Laman web sosial kini menjadi pengantara
antara seseorang individu dengan individu lain untuk tujuan tertentu. Laman
sosial seperti “Facebook”, “My Space”, “Frienster”, “Twitter” dan sebagainya
mendapat perhatian masyarakat di negara ini terutamanya golongan remaja. Laman
sesawang rangkaian sosial tersebut telah menjadi satu trend dalam kehidupan
masyarakat masa kini. Remaja kini telah menjadikan penggunaan laman sosial di
internet ini sebagai medium untuk mengisi kekosongan waktu mereka. Hal ini
disebabkan oleh aplikasi yang terdapat di laman sosial yang canggih dapat
menarik perhatian masyarakat di Malaysia. Secara tidak langsung, penggunaan
laman sosial ini telah memberikan kesan positif dan negatif terhadap gaya hidup
para remaja.
Sebagaimana yang kita
ketahui,penggunaan laman sosial dapat
menambah kenalan yang baru di samping hubungan yang telah lama terputus
dapat dieratkan semula. Apabila seseorang itu telah menamatkan sesuatu
pengajian di sekolah menyebabkan mereka telah terputus hubungan antara satu
sama lain. Laman sosial ini digunakan sebagai suatu medium utama untuk mencari
kenalan lama yang telah terputus. Mereka dapat mengetahui kerjaya yang telah
diceburi oleh rakan dan dapat berinterasi antara satu sama lain. Gambar yang
telah diletakkan di dalam profil juga boleh dilihat dan dikomen oleh semua
rakan. Mereka juga dapat menyampaikan maklumat seperti mengadakan satu perjumpaan
di sesuatu tempat dengan mengumpulkan guru-guru dan rakan-rakan. Perkara ini
menjadi mudah kerana dapat menjimatkan masa dan tenaga dengan cara menggunakan
kemudahan yang sedia ada. Jadi jelaslah bahawa penggunaan laman sesawang sosial
boleh menambahkan kenalan yang baru.
Selanjutnya, laman sosial mampu
membantu kita mempromosikan sesuatu barangan tamsilnya apabila seseorang yang
ingin menjalankan perniagaan melalui urusan jual beli secara online. Menerusi bidang
perniagaan izharnya, kita boleh meningkatkan penggunaan laman sosial ke arah
kebaikan iaitu dengan memasar dan
menjual barangan secara mudah dan tidak perlu mengerah tenaga yang maksima
untuk pergi ke pusat beli belah dan berbaris panjang. Secara tidak langsung,
kita telah mewujudkan rangkaian korporat persendirian yang dipanggil Intranet .
Hal ini dapat dibuktikan melalui laman sosial seperti Instagram. Para perniaga
hanya perlu memuat naik gambar ke Instagram sahaja untuk mempamerkan barang
jualan mereka. Maka bermula dari sini orang ramai boleh membeli di rumah
walaupun jarak mengehadkan kemudahan urusan jual beli mereka. Alangkah
untungnya kita kerana hidup pada alaf globalisasi yang serba moden dan
berteknologi ini !
Tambahan pula, dengan adanya
rangkaian sosial ini, kita mudah untuk menyebarkan
maklumat atau sesuatu perkara yang brfaedah kepada rakan rakan mahupun
masyarakat. Tamsilnya, ketika ingin melakukan majlis jemputan kahwin kita perlu
mencari alamat rakan masing-masing. Tapi kini dengan kecanggihan laman sosial,
kad kahwin boleh dihantarkan ke sana dan dimaklumkan kepada rakan-rakan. Kita juga
dapat berkongsi maklumat. Melalui pengaplikasian laman sosial, kita tidak perlu
membuka televisyen untuk mengetahui isu semasa yang kian hangat diutarakan oleh
masyarakat. Hanya perlu membuka Twitter dan mereka yang bertugas akan
menyalurkan maklumat terkini seperti berita pesawat MH17 dan rakyat Palestin
yang dalam kesengsaraan.
Sebagai akhirul kalam, penggunaan
laman sosial ini sememangnya berjaya mendatangkan banyak kebaikan kepada
masyarakat khususnya dalam kalangan para remaja. Namun, pastinya bahawa setiap
perkara yang membawa kebaikan wajar dituruti oleh kemudaratan. Jadi, impak
negatif yang wujud haruslah diberi perhatian yang serius dan tidak boleh
dipandang enteng oleh masyarakat Pendek kata, apa yang signifikan ialah semua
pihak perlu berwaspada dengan cermat dan bertanggungjawab ke atas segala
maklumat yang ingin disebarkan serta dikongsi agar tidak membawa padah kepada
diri dan orang lain. Sebagai manusia yang berakal pastinya kita perlu menangkis
setiap perkara yang buruk bak kata pepatah yang ada mengatakan bahawa “mencegah
itu lebih baik daripada mengubati.”