Attention! You have stepped onto ♥ Izzati Nadia's online journal ♥ Welcome and thanks dear! With pleasure, you are invited to visit this page again and again in future│FollowDashboard
Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar Astaghfirullah

Karangan bahagian B : Manfaatkan usia remajamu



Dengan apakah akan kaupenuhi
piala remajamu
adakah cuka kesangsian
dari cinta murah
atau madu ajran
dari ilmu akidah


Petikan di atas merupakan sajak ‘Harga Remaja’ yang mengutarakan persoalan tentang pengisian kehidupan remaja sama ada menghabiskannya dengan cinta monyet ataupun pencarian ilmu yang bersungguh sungguh. Sesungguhnya, golongan remaja, tidak dapat dinafikan, merupakan modal insan ataupun aset berharga kepada nusa dan bangsa. Demi pembangunan negara, negara berhasrat untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, yakni berpendidikan, berwawasan, berdedikasi, berkaliber dan berdisiplin. Oleh hal yang demikian, dalam RMK-9, sebanyak 20.6 peratus diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti modal insan dengan meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu. Dalam konteks ini, sasaran modal insan ialah remaja atau tenaga muda kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Golongan mudalah yang dapat menyumbangkan idea dan tenaga demi pembangunan negara dalam segala bidang, khususnya dari aspek iktisad. Jadi, bagaimanakah remaja dapat memainkan peranan dalam usaha merealisasikan visi kudsi kerajaan, yakni melahirkan modal insan yang berkualiti.

                  
                    Sebagai bakal modal insan yang berkualiti, seseorang remaja hendaklah berbekalkan pendidikan formal yang sempurna. Maksud saya, setiap remaja haruslah memerah otak sehingga mencapai ijazah kelas pertama, sarjana muda, dan jika diizinkan Allah sehingga falsafah kedoktoran. Kita boleh mencapai kemuncak dalam bidang pendidikan dengan berbekalkan semangat yang kental dan usaha yang gigih. Demi mencapai kejayaan yang cemerlang, ruyung perlulah dipecahkan untuk menikmati sagunya. Malangnya, remaja dewasa ini bersemangat rapuh dan mudah putus asa apabila menempuh onak dan duri; genggam-genggam bara, terasa hangat dilepaskan. Senario ini amat ketara dalam kalangan pemuda pemudi kita kerana rata-rata melepaskan batuk di tangga. Apabila memperoleh diploma, mereka sudah puas dan berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mencari pekerjaan. Yang bernasib baik dapat bekerja sebagai jururawat di hospital swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Yang bernasib malang pula bergelandangan di perut kota dengan segulung diploma dari sebuah pejabat ke sebuah pejabat. Kata orang tua-tua, asal sabut terapung, asal besi tenggelam. Tuntasnya, demi menjadi modal insan yang berguna kepada tanah air, remaja perlulah bertungkus lumus untuk memperoleh pendidikan yang setinggi mungkin. Bukankah genggam bara api biar sampai jadi arang?     
          
                  Selain melengkapkan diri dengan pendidikan, remaja hendaklah mengamalkan gaya hidup sihat. Saya katakan demikian oleh sebab kesihatan menjamin kecergasan dan kecerdasan seseorang individu sejajar dengan kata hikmat badan cergas, otak cerdas. Dunia ini dunia stres tidak dapat dinafikan kerana siapa cepat, dia dapat. Demi mengejar pangkat dan pendapatan yang tinggi, kesihatan diabaikan. Oleh sebab terlalu ghairah akan kertas hijau dan merah, mereka kesuntukan waktu untuk bersenam, beriadah, dan bersantai. Apabila sudah terlantar di hospital seperti kura-kura terlentang kerana hipertensi, segala-galanya sudah terlambat; kuman menjadi barah; belukar menjadi rimba. Menurut berita di Utusan Melayu baru-baru ini, seorang mekanik motor berkuas tinggi (superbike) yang berusia 38 tahun dikejarkan ke hospital bahana serangan sakit jantung. Sesampainya di Hospital Daerah Seberang Jaya, dia pun disahkan sudah berpindah ke balik papan. Persoalannya, bolehkah generasi muda yang berpenyakit dapat menyumbangkan tenaga ke arah pembangunan negara? Jadi sebagai generasi muda yang berpendidikan, kita haruslah mengambil inisiatif untuk melakukan senaman secara konsisten, seperti bersenam di gim ataupun beriadah di taman rekreasi. Selain itu, kita perlu menjaga pemakanan setiap masa; kita perlu makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Seperkara lagi, rokok, najis dadah dan arak sewajarnya dihindari kerana mengundang pelbagai komplikasi. Tegasnya, gaya hidup sihat hendaklah menjadi agenda perdana dalam kamus hidup kita jika hendak menjadi modal insan yang berkualiti.        


       
                 Di samping gaya hidup sihat, remaja hendaklah mempunyai jati diri yang unggul demi menjadi modal insan yang dapat menyumbang kepada nusa dan bangsa. Antara keperibadian unggul termasuklah tingkah laku yang sopan dan mempunyai darjah kesusilaan yang tinggi berpaksikan prinsip kelima Rukun Negara, yakni kesopanan dan kesusilaan. Hal ini dapat memandu dan memimpin generasi muda agar tidak terbabas dari landasan yang benar lalu terjerumus ke dalam lembah laknatullah, seperti berjinak-jinak dengan najis dadah, yang menghancurkan wawasan negara, iaitu Wawasan 2020. Menurut pakar motivasi yang tersohor dan disegani masyarakat Melayu, Datuk Haji Dr. Fadzilah Kamsah, banyak anak muda yang terperosok ke dalam kancah maksiat, seperti sumur di tepi jalan, siapa haus boleh minum (perempuan sundal), ekoran terhakisnya nilai-nilai moral. Sehubungan ini, remaja haruslah menyemaikan nilai-nilai kemanusiaan dan kerohaniaan, seperti amanah, tulus ikhlas, toleransi dan bertimbang rasa, dalam lubuk kalbu mereka agar menjadi modal insan yang bersahsiah mulia serta menjaga imej tanah air yang tercinta ini. Apa gunanya anak gadis yang cantik tetapi tidak bersopan santun laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak. Anak gadis yang tidak bermoral bukan sahaja dianggap sebagai cacing di pelimbah malahan dilabelkan sebagai sampah masyarakat. Jadi, anak-anak muda kita haruslah mematuhi adat dan peraturan di mana-mana sahaja mereka berada; di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Pendek kata, modal insan yang berkeperibadian mulia bukan sekadar dapat menyumbang ke arah pembangunan negara malahan dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
                
Tidak ketinggalan juga, generasi muda haruslah menghayati ajaran al-Quran. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja yang mematuhi ajaran al-Quran, bangsa Malaysia yang budiman dan disegani dapat dilahirkan. Dalam konteks ini, remaja dapat membezakan yang mana intan, yang mana kaca. Remaja yang beriman dan berpaksikan akidah tidak akan menjadi hamba kepada hawa nafsu. Mereka mengetahui siapa yahudi, siapa nasrani, dan siapa majusi. Dengan berbekalkan usuluddin ataupun ilmu tauhid, yakni ilmu yang membicarakan akidah agama Islam yang berhubung dengan ketuhanan, kenabian, dan perkara-perkara yang ghaib seperti qadak dan qadar, hari akhirat, syurga, dan neraka, mereka akan menjauhi angkara dan maksiat. Anak gadis yang soleh, misalnya, akan menjaga gerak-geri apabila berinteraksi dengan kaum lelaki. Tutur kata dan tingkah laku akan dijaga agar tidak mencemari imej keluarga. Kata orang, biar buruk kain dipakai, asal pandai mengambil hati. Ajaran agama Islam juga mencelikkan mata remaja bahawa dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang keruh dan dari telaga yang keruh, tak akan mengalir air yang jernih. Dengan adanya kesedaran ini, tumbuk rusuk ataupun rasuah yang dapat menghancurkan negara dapat dihindarkan. Tuntasnya, nilai-nilai keagamaan hendaklah disemaikan dan disuburkan dalam lubuk sanubari setiap remaja untuk menjadi modal insan yang berkualiti.
             
 Akhirulkalam, modal insan yang menjadi harapan negara ialah generasi muda yang berpendidikan formal, berjati diri mulia, sihat wal afiat dan beriman. Demi mendukung cita-cita dan hasrat negara ini, remaja hendaklah melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat membentuk jati diri yang unggul, bukannya membilang buah kerayung seperti melepak di kompeks beli-belah, berlumba haram dan berjudi. Sebagai warganegara yang berjiwa patriotik, remaja haruslah mengetepikan aliran politik yang sempit yang berorientasikan komunalisme (fahaman perkauman) demi kepentingan nusa dan bangsa. Seperkara lagi, nilai-nilai negatif hendaklah dikikis sama sekali kerana memang susah untuk mengikis tabiat buruk. Bukahkah ayam pulang ke lombong, itik pulang ke pelimbahan? Remaja juga sewajarnya berfikir dengan semasak-masaknya sebelum bertindak dalam apa-apa juga aspek kehidupan kerana ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Tiada gunanya kita menyesali sesuatu tindakan yang sudah menimpa diri kerana sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Dengan kesedaran ini, remaja bukan sahaja akan menjadi modal insan kelas pertama bahkan dapat memperkasakan bangsa Malaysia sebagai bangsa yang maju yang dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.