Credit to Blog Cebisan Sekeping Hati. Try lah jalan ke situ pulak. Banyak ilmu yang telah disharekan di blog tu. Seketul
daging ! Terisi di dalamnya dengan seribu perasaan yang kadang-kadang
sukar untuk diertikan. Manusia.. Ramai yang lemah kerananya.
Memilikinya tanpa sedar akan pengaruhnya. Kenapa ramai yang suka
menjadi hambanya? Menurut segala kemahuannya tanpa bertanya pada akal
yang lebih sempurna.
Hati.
Segalanya bermula di situ. Hati yang penuh dengan kasih dan sayang,
hati yang penuh dengan rasa benci dan dendam, hati yang sentiasa
cintakan kedamaian, hati yang sentiasa inginkan kepuasan. Cantik dan
buruknya perilaku seseorang bergantung pada ketulusan hatinya.
Betapa
sukar untuk menjaga sekeping hati... Pernah kita menjaga hati dengan
sebaiknya? Atau kita sering mencacatkan hati dengan kerakusan hawa
nafsu semata? Manusia mampu mencipta nama segah mungkin. Mampu melakar
rangkaian teknologi yang canggih. Mampu merungkai rahsia alam yang sukar
untuk ditembusi. Namun mengapa manusia ini khilaf dalam menjaga
sekeping hati nan suci?
Hati
seringkali dipenuhi dengan hasad dan dengki, benci dan dendam yang
tidak terperi sehingga mampu mempengaruhi tangan dan kaki bergerak,
berfungsi tanpa mengikut rentak akal yang diberi. Mengapa sanggup
membiarkan hati yang penuh dengan amarah ini menyentuh sekeping hati
yang penuh dengan ketulusan kasih sayang yang suci? Puaskah hatimu
mencerobohi kamar hati dengan kerakusan hawa nafsu sendiri? Puaskah?
Kerana
hati, ramai yang tersungkur, rebah menjadi hamba duniawi. Apabila diri
dipuji-puji, hati kembang tidak terperi. Mencipta keangkuhan dalam
hati dan merasakan akulah yang terhebat di muka bumi ini. Melayarkan
sayap kesombongan sehingga terlupa untuk berpijak di bumi.
Lupa
pada erti kesyukuran atas nikmat yang telah Allah pinjamkan. Hanya
kerana rentetan hati yang teruji dengan pujian yang menggunung tinggi.
Apabila ditegur akan kesilapan diri, dengan angkuh dan sombongnya
menolak kritikan sehingga menampakkan kekejian di hati. Tertawalah si
Syaitan dan Iblis kerana berjaya menghunuskan pedangnya di hati manusia
yang 'mati' dari cahaya Illahi. Tidakkah kita sedar semua ini?
Ada
segelintir manusia yang merasakan dirinya sudah cukup hebat di sisi Ya
Rabb. Solatnya, zikirnya, ibadahnya dirasakan sungguh cukup sempurna
dan mampu melintasi titian sirat dengan mudah. Sehingga menciptakan
segelumit rasa bangga di dalam hatinya kerana menyangka diri tergolong
dalam golongan mukmin. Jangan!
Jangan
pernah berprasangka seperti ini kerana hati manusia sangat rapuh.
Sangat-sangat rapuh. Allah mengetahui sejauh mana keikhlasan hamba-Nya
dalam mencari cahaya cinta-Nya. Rasulullaah S.A.W sendiri yang sentiasa
dilindungi Allah, yang telah dijanjikan Allah syurga Firdausi tidak
pernah walau sedetik pun meninggi diri memperkatakan amalan yang
dilakukan sehari-hari.
Malahan
Nabi kita ini beribadah sehingga bengkak kaki Baginda hanya untuk
menuntut takwa dan kasih sayang Allah S.W.T. Maka, mengapa kita yang
hanya hamba-Nya yang sangat-sangat kerdil merasa bongkak dan angkuh
seperti itu? Adakah kita akan merasa aman kerana secara zahirnya kita
soleh tetapi hati kita sebenarnya terselingkuh di kemudian hari?
Tidakkah kita takut dengan amaran Allah?
Dari
sekeping hati yang suci mampu berubah menjadi onar dan duri. Hati pada
asalnya penuh dengan kelembutan dan kasih sayang agar kita saling
menyayangi dan melindungi sesama sendiri tetapi apa yang telah terjadi
pada detik ini? Kerana dendam kita bermusuhan. Kerana dengki kita
mencipta pergaduhan. Kerana marah, kita sanggup meleraikan
persahabatan. Rosak binasalah hati akhirnya membawa kemusnahan pada
diri sendiri.
Inilah
persoalan yang membungkam pemikiran hati ini. Perihal penyakit hati
yang semakin meruncing yang menggugat keimanan dan melunturkan
ketakwaan. Ukhuwah yang terjalin terlerai hanya kerana terpedaya dengan
bisikan hati yang sentiasa di cucuk dengan hasutan Iblis.
Jangan
gunakan kebencian dan kedengkian kerana apa pun kebaikan akan bernilai
negatif di mata para pendengki. Jangan dibiarkan hati terus bernanah,
membusuk sehingga kebusukan itu dapat dihidu oleh orang lain. Didiklah,
tuntunilah hati ini dengan madah dan kata Allah.
Bersihkan
hati ini dari kata yang kelam lagi suram. Jauhkanlah hati dari nafsu
dan dendam. Dikhuatiri kita terus hanyut dalam jalan yang suram
sedangkan jalan yang terang luas terbentang tidak dapat dilihat hanya
kerana hati yang hitam penuh kegelapan. Semoga kita terlindung dari
kekejian hati. Amin..
Ketahuilah bahawa di dalam dada manusia ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya, apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah seketul daging itu adalah hati.
[HR Bukhari dan Muslim]