Mereka yang
mempunyai Disleksia bukannya menghadapi kecacatan malah sebahagian daripada
orang-orang yang terkenal juga mempunyai disleksia. Sesetengah mereka yang
mempunyai keadaan disleksia mempunyai kesukaran untuk menyebut perkataan yang
panjang, dan ada yang
sukar mempelajari turutan seperti nama bulan, dan sifir. Setiap
orang dengan disleksia mempunyai masalah yang
tidak serupa dengan
orang lain dengan disleksia.
Masalah Disleksia adalah berbeza dengan Afasia,
yang merupakan sejenis penyakit yang
disebabkan oleh kerosakan saraf otak, dengan itu akan melumpuhkan kebolehan seseorang untuk berkomunikasi.
Perkataan disleksia diambil daripada istilah Yunani, dys yang
bermaksud 'sulit dalam' dan lex (diambil daripada legein)
yang bermakna 'bercakap'. Secara kesimpulannya, disleksia bermakna menderita kesukaran yang
berhubungan dengan kata
atau simbol-simbol tulisan.
Kanak-kanak yang
mengalami disleksia bukanlah tergolong dalam golongan yang
bodoh. Daripada kajian-kajian mendapati mereka mempunyai tahap kecerdasan intelektual yang
normal dan tidak mempunyai masalah pendengaran dan penglihatan. Ibu bapa mempunyai banyak pilihan untuk memberi pendidikan berterusan kepada anak-anak dengan memilih menghantar mereka ke sekolah biasa yang
mempunyai kelas khas disleksia seliaan JPN atau mendapatkan nasihat daripada JKM untuk menghantar anak-anak ke Pendidikan Khas. Kanak-kanak ini akan diberikan bimbingan dengan betul untuk berdikari tanpa memerlukan bantuan ibu bapa apabila dewasa.
Di Malaysia, kanak-kanak yang
telah disahkan disleksia boleh mendaftar sebagai
orang kurang upaya
(OKU). Mereka mempunyai kad OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) dan memperoleh bantuan
RM150 sebulan daripada Jabatan Pendidikan Negeri
(JPN) kerana mengikuti kelas pemulihan di bawah seliaannya.
Ciri-ciri penghidapnya
1.Selalunya dikesan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak.
2.Lambat membaca dan mempunyai tulisan tangan yang buruk.
3.Ketika membaca, sering mengurang dan menambah pada sesuatu perkataan.
4.Sering keliru dengan sesuatu perkataan pada huruf-huruf tertentu contohnya 'b' dianggap 'd' dan 'p' dianggap 'q'.
5.Perhatian mudah terganggu atau gagal untuk menghabiskan sesuatu kerja hingga habis.
6.Cenderung menjadi seorang yang impulsif atau sering mengikut perasaan sendiri tanpa memikirkan orang lain.
6.Sering berlaku di kalangan lelaki.
7.Kerap berlaku di kalangan pasangan kembar, kanak-kanak yang lahir tidak cukup bulan, anak-anak yang lahir daripada ibu yang sudah berumur, dan kanak-kanak yang pernah mengalami kecederaan pada kepala.
8.Masalah disleksia boleh berlanjutan sehingga dewasa.
Punca-punca Disleksia
Punca disleksia dipercayai akibat daripada cara kerja otak yang berbeza daripada keadaan yang normal. Apabila ujian imbasan dijalankan ke atas penghidap disleksia, didapati cara otak mereka memproses maklumat agak berbeza daripada biasa. Perbezaan ini mungkin disebabkan oleh kecacatan pada otak yang berlaku semasa dalam kandungan ataupun daripada kemalangan.
Faktor keturunan juga dikatakan sebagai salah satu punca disleksia. Kajian perubatan di barat mendapati kanak-kanak penghidap disleksia mempunyai latar belakang keluarga yang ada turut mempunyai penghidap sindrom berkenaan.
Rawatan
Disleksia hanya dapat dikesan apabila beberapa ujian dilakukan ke atas pesakit di bawah pengendalian ahli psikologi atau guru khas disleksia. Penyakit ini boleh dirawat tetapi tidak boleh diubati. Penghidap disleksia lazimnya akan diberi rawatan secara terapi untuk meningkatkan kemahiran linguistik, berfikir, dan sosial.