Saya kadangkala rajin juga melakukan blogwalking, samada dalam list sedia
ada, ataupun daripada komen pembaca, ataupun daripada pautan lain di
blog-blog mereka. Kebanyakan ‘perjalanan’ saya itu saya fikir masih
berada dalamcircle yang sama, iaitu pembaca atau bloggers yang punya minat pada agama. Dalam jiwa mereka, ada Islam.
Sebahagian besar mereka adalah remaja dan berjantina hawa. Isi kandungan
blog pula lebih berkisar tentang kehidupan mereka serta apa sahaja yang
dilalui. Sesekali diselit dengan tazkirah, dan kerap kali juga
dipaparkan pelbagai artikel yang disalin daripada blog ilmuan lain.
Kesimpulan mudah yang saya buat adalah, mereka ada jiwa untuk memberi,
mempelajari dan mahu menjadi muslimah sejati.
Namun saya perlu akui, sebahagian besar mereka itu sedang asyik dalam
kesilapan yang menjatuhkan maruah diri, dan lebih malang jika perkara
itu tidak disedari.
Dalam blog, selain pelbagai widget di
kiri atau kanan, gambar sendiri diedit cantik dan dipamerkan. Ditambah
lagi satu, gambar kekasih hati turut sama terpampang. Gambar ‘budak
lelaki’ itu juga diedit cantik dan ditulis pelbagai kata cinta di
atasnya. Sangat gedik dan geli. Gejala sama turut menimpa para facebookers.
Gambar profil berpurdah hitam dengan paparan mata yang konon menawan.
Berpurdah katanya. Di bawahnya pula, status ‘in a relationship’ tertera
penuh bangga dengan lelaki yang bukan suaminya.
SYARI’ATULLAH
Dikisahkan, wanita itu sifat malunya lebih tebal berbanding lelaki.
Fitrah penuh hikmah yang diciptakan Allah. Islam datang mengangkat
martabat mereka dengan pelbagai peraturan dalam syariat. Dan Islam
terbukti sebagai sistem paling unggul dalam memuliakan wanita.
Ada perintah berhijab, merendahkan suara, menjaga pergaulan dan tutur
kata. Secara tersirat, elemen-elemen itulah yang menambahkan lagi harga
dan maruah seorang wanita. Mereka menjadi mulia dan mereka dimuliakan.
Tetapi apa akan terjadi, jika kesemua peraturan itu diabaikan?
Analogi yang selalu kita dengar, syariat itu umpama papan tanda di lebuh
raya. Bayangkan apa akan terjadi, jika lori balak sama-sama bersaing di
laluan kanan bersama motosikal dan kereta? Bayangkan pula, jika semua
orang bebas memandu ke arah mana yang mereka suka, tanpa ada lampu
isyarat ataupun papan tanda?
Begitu juga. Bayangkan bagaimana jika wanita yang seharusnya lebih mahal
dan lebih tinggi sifat malunya, membakulsampahkan kesemua sifat
tersebut di hadapan lelaki? Dan situasi ini sebenarnya telah banyak
terjadi dan terus terjadi, terutama di kalangan gadis remaja kita.
Gejala mempamerkan wajah sendiri telah banyak diingatkan sebagai membahayakan maruah. Pelbagai buktiprintscreen ditunjukkan
bagaimana gilanya manusia yang mencuri dan membuat editing pada
gambar-gambar kaum hawa. Namun kedegilan yang sama terus dipertahankan.
Bahkan bertambah, dengan trend meletakkan bersama gambar teman lelaki
masing-masing.
Apakah mereka fikir, itu suatu bentuk kebanggaan?
MARUAH
” Sayang papa sampai mati “
” My beloved one..forever n ever “
” Cayang kamuuu ..”
Ya. Itu antara ayat-ayat cinta ciptaan mereka. Pernah saya cuba
menyelidik, adakah si lelaki turut melakukan perkara yang sama. Dan
menyedihkan, kerana banyak yang saya lihat, si lelaki tidak pun
meletakkan gambar teman wanita mereka bahkan seboleh-bolehnya kelihatan
seperti mahu berlagak single dan belum berpunya.
Pernah juga saya lihat di facebook. Gadis muslimah tersebut, beriya-iya menukilkan madah cinta di wall teman
lelakinya. Bahkan menggunakan aplikasi tulisan yang pelik-pelik penuh
warna warni semata-mata untuk menyatakan ‘ saya sayang pakwe saya ‘. Di wall si
lelaki, berderet ucapan yang sama, setiap hari. Tetapi aneh, si lelaki
langsung tidak membalas. Si lelaki seolah ‘rimas’ dan seboleh-bolehnya
mahu ‘berlepas diri’ dari kesemua perkara tersebut. Hanya post dari
rakan-rakannya sahaja yang dibalas dengan ‘rela’.
Saya terfikir, si gadis seperti itu sebenarnya mengapa? Sakit jiwakah dia? Sudah hilang rasa malukah dia?
Oh, gambar profil facebook gaya
arab. Pakai niqab hitam. Status-status yang ditulis, mengajak cinta
kepada Allah. Ajak berburu Lailatul Qadr. Tetapi dia sanggup
menghabiskan masa yang banyak ( pada hemat saya ) untuk membuatediting gambarnya dan dicantum dengan gambar si lelaki. Ditambah dengan pelbagai effect dan
tulisan. Berhabis masa pula untuk membuat tulisan kelip-kelip ,
dedikasi untuk orang yang dia sayang. Apa sebenarnya yang dia cari?
Apa sekalipun rasa hati, mereka yang berada dalam situasi seperti ini
harus segera sedar. Anda sedang menjatuhkan maruah diri anda sendiri.
MULIANYA ANDA
Jangan jadi gula-gula yang terdedah tanpa balutan plastik, kerana tiada
orang akan memilih gula-gula itu berbanding yang masih tertutup dan
tersimpan rapi di dalam bekas. Gula-gula yang terdedah, samalah seperti
ucapan dan perbuatan yang menjatuhkan maruah. Pakaian anda, tudung atau
jubah, tidak memberi sebarang makna jika anda sanggup merendahkan darjat
anda ke tahap itu di alam maya.
Tidak ada sesiapa yang akan berbangga dengan status ‘ in a relationship ‘ anda di facebook,
walaupun anda dan dia sudah bertunang. Kalau pertunangan itu pun
disuruh rahsiakan, apatah lagi jika anda dan dia langsung tidak ada
apa-apa ikatan dan sekadar bermain perasaan?
Menjadi trend,
di usia remaja wajib punya pasangan. Seawal tingkatan satu, sudah punya
teman istimewa dan diisytihar merata-rata. Bahkan ada juga yang
memanggil budak lelaki mereka sebagai ‘hubby‘ atau suami. Kemudian, putus di tengah jalan. Lalu ditulis pula status-status penuh kesedihan.
” Saya relakan awak pergi. Mungkin kita tiada jodoh. Saya redha dengan suratan Ilahi. Kalau kita cintakan seseorang, kita pasti akan sanggup lepaskan dia untuk melihat dia bahagia..”Gurindam putus cinta dari anak remaja yang baru tingkatan tiga.
Tidak berapa lama, gambar berganti. Dapat pula teman lelaki yang lain. Dapat boyfriend baru. Cinta berputik kembali. Gambar ditayang lagi. Hanyut kembali dalam ombak perasaan yang tidak bertepi.
Muliakah anda dalam situasi itu? Tinggikah nilaian anda dengan melakukan
perkara seperti itu? Tenang dan damaikah jiwa anda dengan mainan
perasaan seperti itu?
JALAN PULANG
Mungkin masih ramai menganggap, gambar teman lelaki kesayangan mereka
itu sumber inspirasi. Dan kisah cinta mereka adalah pencetus motivasi.
Tetapi sebenarnya, anda sedang bermain dengan harga diri. Islam
mengangkat anda ke tempat yang cukup tinggi semata-mata untuk memuliakan
anda sebagai wanita. Islam prihatin dengan sifat malu yang menjadi
benteng maruah diri anda.
Jangan biarkan Syaitan terus-terusan menghiasi amalan anda. Hayati
kembali keindahan syariat Islam. Perhalusi kembali hikmah di sebalik
larangan.
Bercinta dan berhubungan dengan bukan mahram adalah satu dosa, dan
mengisytiharkan dosa itu dengan bangga di khalayak ramai menambahkan
satu lagi dosa. Di sebaliknya, maruah anda sebagai wanita sedang
terhina.
Kembalilah pulang.
Masih belum terlambat untuk beralih memperbaiki kesilapan. Buang lah
kesemua gambar teman lelaki anda kerana tidak ada apa yang hendak
dibanggakan. Bangga sangatkah mempamerkan perlanggaran hukum Tuhan? Di facebookjuga begitu, berhentilah dari status ‘ in a relationship ‘ dengan kaum adam yang bukan mahram. Lebih parah jika sampai tahap status ‘ married to ‘ yang tergamak dipaparkan dengan lelaki yang tiada ikatan.
Saya kasihan, kerana saya yakin, dalam diri mereka ada kecintaan kepada
Islam. Dan mudah-mudahan, artikel ini mampu menyuntik sedikit kesedaran.
Sayangilah diri anda sebagai kaum hawa yang dimuliakan Tuhan. Moga
Allah memberi kekuatan untuk melakukan perubahan.
Sekian.