Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.”
Setelah mendengar perkataan
tersebut Ibrahim berkata, “Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu
melaksanakannya, maka bolehlah kamu melakukan maksiat.”
Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, “Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?”
Ibrahim bin Adham berkata, “Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya.”
Mendengar itu dia mengenyitkan
kening seraya berkata, “Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang
ada di bumi ini rezeki Allah?”
“Ya!” tegas Ibrahim bin Adham.
“Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya,
sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar laranganNya?”
“Yang kedua,” kata Ibrahim, “Kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya!”
Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.
Ibrahim kembali berkata
kepadanya, “Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan
rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sedangkan kamu melanggar segala
laranganNya?”
“Ya! Anda benar.” kata lelaki itu.
Dia kemudian menanyakan syarat
yang ketiga. Ibrahim menjawab, “Kalau kamu masih mahu bermaksiat,
carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat olehNya!”
Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata, “Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?”
“Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?” kata Ibrahim.
Lelaki itu mengangguk dan
meminta syarat yang keempat. Ibrahim melanjutkan, “Kalau malaikat maut
datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya; Ketepikan kematianku
dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh.”
Kemudian lelaki itu
menggelengkan kepala dan segera tersedar, “Wahai Ibrahim, mana mungkin
malaikat maut akan memenuhi permintaanku?”
“Wahai Abdullah, kalau kamu
sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan
datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan
Allah?”
“Baiklah, apa syarat yang kelima?”
Ibrahim pun menjawab, “Wahai
Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api
neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.”
Perkataan tersebut membuat
lelaki itu insaf. Dia berkata, “Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat
itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya.”
Dia tidak tahan lagi mendengar
perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. “Mulai saat ini aku bertaubat
kepada Allah.” katanya sambil terisak-isak.
Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah :
1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10.Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.