Attention! You have stepped onto ♥ Izzati Nadia's online journal ♥ Welcome and thanks dear! With pleasure, you are invited to visit this page again and again in future│FollowDashboard
Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar Astaghfirullah

Guides for those are in love


Tidak seorang pun daripada manusia yang mampu membohongi hakikat, bahawa di dalam tubuhnya itu ada hati. Dan hati tersebut pula diciptakan oleh Allah dengan satu keistimewaan, iaitu menjana al-hub yakni rasa cinta,kasih dan sayang.
Itulah yang dinamakan sebagai fitrah.
Menidakkan peranan dan hakikat fitrah seumpama cuba menukar manusia menjadi satu makhluk yang lain. Kerja yang sia-sia dan hanya mengundang derita tiada sudah.
Justeru terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama bercakap dengan diri sendiri. Bisikkan kepada diri sendiri bahawa tidak ada salahnya mengakui hakikat penciptaan seorang manusia, yang ada jiwa dan ada cinta.
Islam tidak pernah menyekat fitrah dan naluri manusia. Jika manusia melihat Islam sebagai suatu peraturan dan cara hidup yang menyekat, bermakna manusia tersebut masih belum mengenali Islam dalam ertikata yang sebenar.
TERIMA HAKIKAT, FAHAMI DAN BERTINDAK
Lihatlah jam di dinding. Perhati detikan jarum panjang dan pendeknya. Renungi dan tanamkan dalam diri anda, bahawa lambat laun fitrah dalam diri tetap akan bersuara. Kebenaran itu tidak bisu. Sampai masanya, ia tetap akan bercakap dengan anda.
Menyedari hakikat tersebut, maka jalan yang bijak bukanlah ‘memerangi’ sebaliknya bersedia untuk menerima. Jangan perangi fitrah dalam diri anda mahupun diri orang lain. Apabila seorang saudara anda mengeluh jatuh hati atau jatuh cinta, jangan dikecam orang tersebut. Begitu juga apabila hati anda bersuara dengan jelas kepada anda tentang fitrahnya, maka jangan dikecam jiwa anda sendiri.
Jika dari awal, anda menyediakan otak untuk ‘menerima’ dan bukannya ‘memerangi’ , maka saya kira anda boleh bertindak dengan lebih rasional, matang dan bijak. Bertindak atas dasar kefahaman dan bukannya emosi semata-mata.
PANDU KE JALAN SELAMAT
Anda perlu faham bahawa jatuh cinta itu bukan suatu kesalahan. Jika ditakdirkan tiba-tiba anda terjatuh hati, atau terpikat, atau tersuka kepada seseorang yang mana sebelumnya perasaan tersebut langsung tidak ada, maka terima dan raikannya perasaan ataupun ‘suara jiwa’ anda terlebih dahulu.
Ini kerana ada golongan yang kelihatannya langsung tidak mahu bertolak ansur dengan suara jiwa mereka sendiri. Kata mereka itu suara Syaitan. Suara nafsu. Bukan suara Iman. Lantas mereka bersifat keras terhadap suara jiwa mereka sendiri, dan lebih malang apabila orang sekeliling mereka turut dipaksa untuk mengambil pendirian yang sama.
Meraikan suara jiwa anda bukan bermakna membiarkan diri anda hanyut. Itu kena jelas.
Sebab itu saya bercakap soal panduan. Setiap masalah, ada penyelesaian. Setiap perkara, ada tempat duduknya. Soal hati dan perasaan juga begitu. Ada tempat duduknya sendiri. Justeru menafikan tempat duduknya adalah suatu bentuk kezaliman.
Raikan perasaan suka. Raikan perasaan minat. Raikan perasaan terpikat. Jangan kecam dan jangan salahkan diri sendiri. Ini step yang sangat penting ketika anda jatuh cinta.
Kemudian, setelah anda mampu meletakkan diri anda dalam konteks yang betul, stabil dan meraikan bahasa jiwa, maka barulah anda boleh ‘memandu’ fitrah tersebut ke jalan yang sepatutnya.
PANDUAN PERTAMA : HUBUNGAN DENGAN ALLAH
Ini paling penting. Saat jatuh hati dan terpikat itu, bagaimana sebenarnya hubungan anda dengan Allah? Solatnya bagaimana, zikirnya bagaimana, bacaan Al-Quran dan amalan sunat yang lain di tahap mana?
Ini kerana, suara hati yang selamat adalah suara hati yang paling teguh dan kukuh hubungannya dengan Allah. Di dalam hadith Nabi s.a.w menyebut bagaimana hati boleh menjadi hitam, gelap dan keras akibat daripada amalan dosa tanpa taubat.
Justeru hati yang seperti itu – semoga Allah jauhkan – bicaranya sangat bahaya. Bicaranya lebih condong ke arah kejahatan, kemungkaran dan kemaksiatan. Maka berhati-hati. Tatkala mahu mendengar suara hati tersebut, perbaiki dahulu perhubungan dengan Allah ta’ala.
PANDUAN KEDUA : IMAN ATAU NAFSU
Tanya kembali pada hati, apa yang membuatkan anda terpikat? Anda mungkin sukar untuk jujur dengan orang lain. Tapi anda secara hakikatnya boleh jujur dengan diri sendiri. Kalau faktor rupa paras atau bentuk tubuhnya sangat dominan di pertimbangan anda, besar kemungkinan anda akan berdepan dengan jatuh hati pada banyak lagi keadaan yang lain. Maknanya, hari ini terpikat dengan Timah, esok dengan Yati pula. Lusa nampaknya Ina lebih baik, dan sebagainya.
Tetapi jika faktor budi bahasanya, atau kecantikan akhlaknya yang mendominasi, anda lebih dekat dengan zon selamat. Tinggal lagi untuk mengawal dan mengemudi hati ke landasan yang sepatutnya.
PANDUAN KETIGA : MASUK SECARA TERHORMAT
Dalam Islam, bab hubungan manusia sesama manusia adalah bab yang diperakui. Tidak ada mana-mana bahagian pun dalam Islam yang mencacatkan atau menidakkan soal hubungan manusia sesama manusia, sebaliknya sangat dititkberatkan dan disertakan pula dengan pelbagai panduan dan peraturan.
Maka untuk menyambut suara hati dan memandunya ke jalan selamat, cara terbaik adalah dengan ‘masuk’ secara terhormat. Masuklah ke dalam hidupnya dengan cara yang paling baik. Bukan melalui pintu belakang.
Rumah buruk macam mana sekalipun, kalau kita masuk ikut tingkap atau pintu dapur, tuan rumahnya tetap pasti merasa marah.
PANDUAN KEEMPAT : KETUK PINTU DENGAN ADAB
Sebelum masuk ke rumah orang, terlebih dahulu ketuklah pintu dan berilah salam. Kita sebagai tetamu, kalau datang dengan cara baik, insyaAllah tuan rumah juga akan layan kita dengan cara yang baik.
Apa yang penting adalah kita lakukan dengan adab sebagai seorang muslim. Cara untuk ‘mengetuk pintu’ itu pelbagai. Samada sendiri atau menggunakan perantaraan seperti orang tengah dan sebagainya.
PANDUAN KELIMA : MENGENAL BESAR DAN LEBIH BESAR
Ketika perasaan tersebut menyesak jiwa dan mengganggu hati kita, biasanya kita terdorong untuk menganggap bahawa itulah persoalan paling besar yang perlu diatasi. Dengan apa cara sekalipun, perasaan tersebut mesti tertunai dan si dia mesti dimiliki.
Sebab itu ada yang mengistilahkan ia sebagai soal ‘hidup dan mati’. Seolahnya, kalau tak dapat akan menderita hingga mati.
Islam ternyata lebih awal menyediakan solusi untuk kita. Islam mendidik kita supaya membezakan antara perkara besar dengan yang lebih besar. Di dalam sebuah hadith Nabi s.a.w bersabda tentang takdir : Telah diangkat kalam dan telah keringlah dakwat.
Bermakna, semua perkara telah ada ketetapannya, termasuklah apa yang sedang kita usahakan. Justeru, melipatgandakan usaha dan ikhtiar itu tidak salah, cuma perlu dikawal supaya tidak ‘mencabar’ perkara yang lebih besar iaitu TAKDIR.
Paling cantik, mantapkan dahulu iman dan keyakinan dalam diri sebelum ‘mencabar’ diri untuk tampil ‘mengetuk pintu’.
PANDUAN KEENAM : BAHAGIA DAN TERSENYUM
Dalam melaksanakan beberapa panduan di atas, kita akan berdepan dengan beberapa natijah :
a) Dia yang kita suka pada awalnya, tetapi apabila diperhalusi rupanya kesukaan tersebut lebih diserabuti duniawi semata-mata, lalu kita kembali memperkasa cinta hakiki sebelum akhirnya menemui sejenis ketenangan padanya. Lalu kita tersenyum dan bahagia.
b ) Dia yang kita suka, rupanya juga menyukai kita, dan jalan ke arah pernikahan begitu mudah pula. Akhirnya bersatu di alam rumahtangga. Lalu kita tersenyum dan bahagia.
c ) Dia yang kita suka atau terpikat, rupanya sudah mempunyai seseorang di hatinya. Lalu kita bersabar dan merujuk kembali kepada perkara lebih besar iaitu soal takdir. Akhirnya kita temui ketenangan sebelum mampu tersenyum dan bahagia.
d ) Dia yang kita suka rupanya tidak ditakdirkan untuk kita, tetapi dalam waktu yang sama Allah bukakan jalan baru untuk kita dan dengan mudahnya keperluan kita terlaksana dengan seseorang yang kita sendiri tidak jangka. Akhirnya kita tersenyum dan bahagia.
Dalam apa keadaan sekalipun, kata kunci untuk tersenyum dan bahagia adalah REDHA. Justeru sangatlah penting untuk memegang panduan pertama yakni soal hubungan hati dengan Allah dalam menelusuri panduan-panduan seterusnya.
Yang penting, kita yakin bahawa setiap orang ada takdirnya masing-masing. Justeru mengapa tidak kita dan mereka berbahagia dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah ke atas setiap daripada kita?
Sekian.